Manage PermissionsManage Permissions

Kebawah DYMM berkenan merasmikan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri



Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Masri Osman, Hamzah Mohidin


MENTIRI, Jumaat, 23 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri bagi perasmian masjid diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Azan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut dilaungkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, manakala Khutbah Jumaat pertama di masjid tersebut telah disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Selesai khutbah disampaikan, diteruskan lagi dengan Sembahyang Fardu Jumaat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri ini dibina atas titah perintah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 April lalu untuk menggantikan Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri yang telah musnah dalam kebakaran pada 5 April 2017.

Bermula dengan penubuhan satu Jawatankuasa Khas di bawah Pejabat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan keahliannya terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Kebawah DYMM sendiri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Jabatan Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tanah, Divisyen Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan pihak konsultan.

Hasil daripada pemikiran dan cadangan yang disembahkan oleh jawatankuasa ini, maka Kebawah DYMM telah mengurniakan titah supaya Masjid Baharu RPN Kampung Mentiri dibina di atas tapak asal dengan mengambil kira akan keperluan penduduk kampung tersebut dan kawasan persekitarannya. Setelah itu, arkitek dan konsultan telah dilantik pada 11 April 2017 dan lantikan kontraktor bagi pembersihan tapak pada 13 April 2017 dan seterusnya melantik kontraktor bagi pembinaan masjid pada 1 Mei 2017.

Dewan Sembahyang Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri berkeluasan 2,703.59 meter persegi bersamaan 29,101.16 kaki persegi dan boleh menampung lebih kurang seramai 3,512 orang jemaah, manakala keluasan keseluruhan kawasan masjid adalah 6,695.37 meter persegi bersamaan 71,834.28 kaki persegi yang dibina di atas tapak asal tanah kerajaan yang berkeluasan 3.6171 hektar bersamaan 8.930 ekar.

Kerja-kerja pembinaan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri  telah bermula pada 2 Mei 2017 dan Majlis Peletakan Batu Asas telah diadakan pada 5 Mei 2017.

Projek Julangan Titah Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah siap sepenuhnya pada 19 Jun 2017 dalam tempoh 49 hari. 

Jawatankuasa Khas dengan kerjasama daripada pihak kontraktor dan pelbagai pihak lainnya telah berusaha secara bersepadu untuk melaksanakan hasrat Kebawah DYMM supaya Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri ini akan dapat digunakan bagi Sembahyang Sunat Aidilfitri 1438 Hijrah.

Di antara kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah Dewan Sembahyang Utama, Dewan Sembahyang Perempuan, Bilik Mesyuarat, Bilik Kuliah, Perpustakaan, Bilik Pengurusan Jenazah dan tempat letak kereta yang boleh menampung sehingga 519 buah kenderaan dan masjid ini juga adalah masjid yang pertama di Negara Brunei Darussalam mempunyai ‘lift’ untuk kemudahan para jemaah naik dan turun ke Dewan Sembahyang Utama.

Dengan pembukaan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri ini dihasrat akan dapat memberi keselesaan kepada para penduduk kampung serta jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Sembahyang Fardu Jumaat di kawasan tersebut.

Ia juga dihasratkan untuk digunakan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti keugamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Mentiri secara khususnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya. 

 KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada jemaah-jemaah yang hadir di Majlis Perasmian Masjid tersebut.


 KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada jemaah-jemaah yang hadir di Majlis Perasmian Masjid tersebut.


 KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima junjung ziarah daripada jemaah-jemaah yang hadir di Majlis Perasmian Masjid tersebut.


 KEBAWAH DYMM dan kerabat diraja berkenan bergambar ramai.


 SEBAHAGIAN jemaah yang hadir bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat Berjemaah.


SEBAHAGIAN jemaah yang hadir bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat Berjemaah.


 MASJID Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.

Close