Manage PermissionsManage Permissions

MPK Kampung Junjongan kumpul BND1,550 untuk anak-anak yatim



Siaran Akhbar : Majlis Perundingan Kampung Junjongan
Foto : Haji Tamam bin Haji Timbang


MUKIM PENGKALAN BATU, Ahad, 21 Mei. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Junjongan telah menganjurkan majlis amal bagi mengumpul dana untuk anak-anak yatim yang tinggal di kawasan tersebut. 

Melalui majlis amal itu, MPK berkenaan telah berjaya mengumpul sebanyak BND1,550 dalam tempoh tiga minggu dari masyarakat kampung dan sektor swasta.

Wang tersebut kemudian diagihkan kepada seramai dua puluh orang anak yatim pada Majlis Penyampaian Sumbangan Amal. 

Dengan sumbangan berkenaan, MPK, Rukun Tetangga, dan anak-anak yatim Kampung Junjongan menyampaikan penghargaan dan terima kasih mereka kepada para penderma yang turut menyokong inisiatif itu.

Dalam kenyataan akhbarnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada acara sosial tahunan MPK itu yang bertujuan untuk mengurangkan isu-isu sosial yang dihadapi oleh penduduk kampung. Kejayaan ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam mencapai pelan strategik bagi meningkatkan taraf dua ribu lebih penduduk di kampung tersebut.

Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada tujuan proaktif dalam membantu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk mencapai pembangunan melalui pendekatan di seluruh negara bagi peringkat MPK kampung. 

Dalam hubungan itu, MPK berharap kerajaan akan melihat peranan penting MPK sebagai penjana pertumbuhan dan pembangunan negara.

MPK juga mengalu-alukan  para belia dari kampung tersebut untuk turut mengambil bahagian dalam membuat keputusan serta menyuarakan idea-idea mereka ke arah memajukan kampung tersebut di mesyuarat yang akan datang. Ini dilakukan seiring dengan usaha kumpulan itu untuk mengenal pasti dan merekrut bakat-bakat muda ke dalam badan eksekutif kampung di samping mengalu-alukan NGO untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial dengan MPK kampung itu, sebagai satu cara untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti bagi menangani kemiskinan kampung dan isu-isu sosial bersama-sama. 

Adalah menjadi harapan MPK  untuk melibatkan diri dengan DARe (Darussalam Enterprise) suatu hari nanti dalam membantu menyokong pembangunan ekonomi kampung seperti yang dinyatakan dalam piagam ekonomi terbarunya.

Versi pdf piagam ekonomi bertajuk 'From Village to Small Town in Five Years?'  dikarang oleh Bendahari MPK Abdul Malik Omar (LSE) dan boleh dimuat turun melalui laman sesawang Facebook kumpulan itu "MPK Junjongan Brunei".

Kampung Junjongan merupakan sebuah kampung yang terletak sekitar sepuluh minit perjalanan dari sempadan Brunei-Limbang dan diketuai oleh Haji Tahir bin Haji Jaya, yang juga Ketua Kampung dan Pengerusi MPK Kampung Junjongan. 

Sebarang pertanyaan boleh disampaikan kepada Ketua Setiausaha, Haji Tamam bin Haji Timbang melalui mpk.junjongan@gmail.com.

Untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk mengambil bahagian atau membantu kampung tersebut, orang ramai dijemput untuk melayari laman Facebook mereka di "MPK Junjongan Brunei".

Close