Manage PermissionsManage Permissions

Radio Brunei lakar sejarah rai Jubli Intan



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Othman


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mei. - Dalam usia 60 tahun, perkhidmatan Radio Brunei terus meniti usianya dalam suasana yang memerlukan inisiatif dan kreativiti merangka transformasi sesuai keperluan peredaran semasa.

Tarikh 2 Mei 2017 mencatat sejarah bagi perkhidmatan Radio Jabatan Radio Televisyen Brunei apabila telah mencapai usia keenam dekad.

Sehubungan itu bagi memperingati usia penubuhannya, Radio Brunei mengadakan Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media), di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini.

Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Radio Televisyen Brunei, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu antara lain menggariskan, sesuai dengan peranannya selaku media penyebar maklumat kerajaan, RTB akan berterusan berusaha menggiatkan lagi peranan penyebaran dan penyiaran maklumat melalui kaedah-kaedah yang lebih berkesan dan terkini bagi membolehkan usaha kerajaan memperkenalkan sesuatu dasar akan dapat diterima, difahami dan disokong oleh rakyat dan penduduk khususnya generasi belia.

RTB jelasnya juga menyedari akan perlunya merencana, mengambil langkah-langkah strategik serta menggiatkan peranan ke arah mewujudkan suasana penyiaran awam yang lebih mapan, berdaya saing dan berdaya maju yang dapat memberikan impak yang positif dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan Sketsa Bujang Si Gandam, salah sebuah rancangan Diandangan yang cukup popular dan sinonim dengan Radio Brunei pada tahun 60-an dan 70-an.

Tetamu kehormat turut menyempurnakan penandatangan plak Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Radio Brunei dan kemudiannya menyaksikan Pameran 6 Dekad Radio Brunei di Studio A yang kini dikenali dengan Studio Al-Ansar dan Studio B yang kini dinamakan dengan Studio Bilhuda Radio Televisyen Brunei.

Pameran 6 Dekad Radio Brunei, memuatkan dengan perkembangan dan pencapaian 5 Rangkaian dan 3 Unit Radio setelah 60 tahun ditubuhkan, disamping pelbagai kegiatan interaktif bersama pengunjung.

Turut serta dalam pameran itu ialah Bahagian Kejuruteraan Radio, Bahagian Berita, Seksyen Perdagangan, Bahagian Latihan dan Perkembangan, Unit Penyelidikan RTB, Kelab Radio dan Tunas Radio.

Pameran ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula hari ini sehingga hari Ahad, 7 Mei 2017 kecuali hari Jumaat ianya dibuka bermula pukul 2 petang.

Mengimbau sejarah Radio Brunei telah memulakan perkhidmatannya pada 2 Mei 1957 apabila Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien berkenaan melancarkan siaran pertamanya.

Meski diawal penubuhannya siaran Radio Brunei cuma dapat diikuti dalam beberapa jam dengan liputan yang agak terhad, kini Radio Brunei memiliki lima Rangkaian Radio dengan konsep dan format Rangkaian masing-masing ke udara 24 jam sehari dengan pelbagai rancangan disiarkan menepati sasaran pendengarnya dan siaran berkenaan juga dapat didengarkan di segenap pelusuk dunia.

Dalam usaha mendekatkan pendengar selari dengan perkembangan semasa media sosial turut digiat aktifkan beberapa aplikasi seperti Facebook, Instagram dan sistem pesanan ringkas.

Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, para pegawai serta kakitangan dan mantan warga RTB.
Close