Manage PermissionsManage Permissions

Festival Pereka Islam 2017 ketengahkan rekaan busana Muslim



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali


BERAKAS, Sabtu, 29 April. - Festival Pereka Islam 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini mengetengahkan rekaan busana Muslim dari lebih 30 jenama usahawan tempatan dan antarabangsa.

Perasmian festival yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa tersebut disempurnakan oleh isteri Menteri Perhubungan, Pengiran Datin Hajah Jamilah binti Pengiran Haji Yusof.

Salah seorang usahawan tempatan yang ditemui pada festival tersebut, Dayang Hajah Nisbah binti Awang Mokhsin berkata, beliau telah mula mengusahakan hasil kraf tangan dari kain jongsarat bermula dua tahun yang lalu.

Beliau menjelaskan, gubahan bunga dari kain jongsarat tersebut banyak mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dan Khatam Al-Quran.

Selain itu, katanya, beliau juga mempamerkan hasil kraf tangan itu di Pelabuhan Muara untuk dijual kepada pelancong-pelancong yang datang ke negara ini melalui kapal persiaran.

Sementara itu, Jasmine Ashraff dari Malaysia yang mengusahakan rekaan jenama Juzash berkata, ini merupakan kali kedua beliau mempamerkan jenama miliknya di negara ini.

"Alhamdulilah, sambutan yang saya terima di negara ini adalah sangat menggalakkan dan ada juga yang membeli rekaan saya secara berulang," katanya.

Menurutnya, beliau membawakan koleksi rekaan sempena Aidilfitri 2017 pada festival tersebut seperti baju, jubah dan anak tudung yang juga laris di Kuala Lumpur.
Close