Manage PermissionsManage Permissions

Perjuangan Rasulullah menegakkan agama Islam disanjung tinggi



​Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad, Ihsan RTB

                                                                  




      

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 Oktober. - Bulan yang kita sebut sebagai bulan Maulud diraikan setiap tahun, pada 12 Rabiulawal dan pada tahun ini, ia bertepatan dengan suasana kita senegara sedang berusaha mengekang gelombang kedua jangkitan wabak COVID-19.

 

Bagaimanapun peristiwa bersejarah Maulud, iaitu kelahiran Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetap kita ingati.

 

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, ia adalah komitmen kenegaraan, yang sekali gus menjadi komitmen keagamaan kita umat Islam dan komitmen kenegaraan kerana kita adalah sebuah negara yang mendaulatkan agama Islam juga menjadikan sebagai agama rasmi negara. Dan komitmen keagamaan pula ialah kerana kita menjadi penganut agama Islam, mengimani akidahnya, mengamalkan ajarannya.

 

Kedua-dua komitmen ini, tegas Yang Berhormat, adalah tanda kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berucap demikian, semasa Rancangan Khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1443 Hijrah, yang disiarkan di saluran RTB Perdana; RTB Aneka; dan RTB Sukmaindera juga di rangkaian radio Nasional FM; Harmoni FM; dan Nur Islam FM juga RTBGo, di sini.

 

''Kita mensyukuri rahmat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah mengangkat dan mengutus Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi nabi dan rasul.

 

''Kita mensyukuri Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus mengenang jasa dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdakwah dan memperjuangkan Islam untuk kekal menjadi ugama anutan manusia sepanjang zaman dan kita adalah sebahagian umatnya,'' terang Yang Berhormat.

 

Dengan itu, setiap tahun kita Memperingati Maulud Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, junjungan kita sepanjang zaman itu dengan mengadakan acara-acara sambutan.

 

Yang Berhormat, seterusnya menyatakan, adapun yang utama dan paling signifikan, pada setiap tahun sambutan ialah titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Disiarkan ke seluruh negara melalui RTB, pada sebelah malam, menjelang 12 Rabiulawal hari Maulud dan kita dengan penuh takzim menyembahkan sembah junjung kasih atas perkenan baginda mengurniakan titah perutusan sempena Sambutan Maulud tahun ini.

 

Kita juga mendoakan supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja baginda sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dengan rahmat sihat juga bahagia.

 

Menurut Yang Berhormat, titah Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan rangkaian titah-titah baginda yang sentiasa memberi ilham.

 

''Ia memangkin semangat kita senegara dalam menghayati wawasan kepimpinan baginda, yang meletakkan ugama Islam di hadapan menjadi pedoman, bukan di samping dan pasti bukan di belakang.

 

''Seterusnya, Maulud juga ditandai dengan acara-acara sambutan di pelbagai peringkat. Dan acara kita, pada hari ini adalah sambutan peringkat negara.

 

''Kita menganjurkannya secara rakaman atau 'virtual', yang disiarkan melalui rangkaian radio dan televisyen dan media sosial,'' ujar Yang Berhormat.

 

Kesemua ini adalah tanda kita menyambut Maulud dan tanda mengenang juga menghargai jasa bakti dan mensyukuri kenabian juga kerasulan Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, junjungan kita yang kita kasihi sepanjang zaman.

 

Kita mengasihi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu, terutama sekali mengenangkan sosok kemanusiaannya terserlah dalam sosok kenabian dan kerasulannya, seperti yang disebutkan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, ayat 128, Surah At-Taubah, yang bertafsir, ''Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) daripada golongan kamu sendiri, yang sangat mengambil berat terhadap kesusahan yang kamu tanggung, yang menginginkan kebaikan kepada kamu, sangat belas kasihan lagi pengasih terhadap orang-orang beriman''.

 

Sedemikian itu, tambah Yang Berhormat, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sosok kemanusiaannya dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata'ala diangkat menjadi nabi dan diutus menjadi rasul, sangat prihatin juga menyantuni orang-orang beriman dengan penuh kasih sayang.

 

Maka, itulah antara ciri utama kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan itulah antara risalah atau mesej kenabian juga kerasulan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, yang kita ingin kongsikan dengan slogan kata tema sambutan, 'Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat'.

 


Close