Manage PermissionsManage Permissions

Memperkasa masyarakat menjadi pengguna bijak



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi

 

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 September. - Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) berperanan dalam mempromosi pasaran yang cekap dan kebajikan pengguna yang terpelihara melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan tiga perundangan, iaitu Perintah Persaingan 2015; Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) 2011; dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

 

Selain daripada mandat kerja-kerja pelaksanaan dan penguatkuasaan, di bawah tiga perundangan tersebut, JPES melalui JPHEP juga memantau harga dan stok barangan keperluan asasi tertentu secara mingguan sejak Disember 2020, merangkumi barangan makanan, seperti ayam, telur (gred 'B'), daging, bawang dan cili.

 

Hasil kerja pemantauan dikongsikan dengan pihak pengawal selia sektor sebagai 'input' dalam membentuk langkah-langkah atau intervensi bagi menangani isu pasaran, jika perlu.

 

Berikutan dengan pengumuman mengenai kes jangkitan tempatan COVID-19 di negara ini, pada awal bulan Ogos lalu, barangan yang dipantau ditambah sejak 7 Ogos 2021, meliputi barangan, seperti sungkup muka, pembersih tangan, minyak masak, beras dan susu tepung anak damit.

 

Maklumat mengenai kerja pemantauan ini dikongsikan bersama orang ramai melalui Laman Sesawang JPES, aplikasi PenggunaBijak dan media sosial secara mingguan.

 

Tujuan utama perkongsian ini adalah bagi mewujudkan ketelusan harga dan membolehkan orang ramai mengetahui harga juga pilihan yang terdapat di pasaran.

 

Dalam hubungan itu, 'PenggunaBijak' yang diperkenalkan sejak November 2016 merupakan aplikasi mudah alih JPES, yang diwujudkan bagi memperkasa pengguna (consumer) dengan menyediakan maklumat-maklumat ke arah menggalakkan konsep Pengguna Bijak.

 

Ini, termasuk menyediakan platform untuk mempromosi ketelusan harga bagi barangan asasi tertentu; membina budaya membuat perbandingan harga dalam kalangan pengguna; dan memberi maklumat mengenai pilihan yang terdapat di pasaran.

 

Selain daripada itu, aplikasi PenggunaBijak juga menyediakan saluran untuk memudahkan pengguna membuat aduan.

 

Antara perisian dan fungsi aplikasi PenggunaBijak, termasuk memberikan maklumat mengenai Perlindungan Pengguna; Barangan dikawal harga, di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142; Harga kereta; Perbandingan Harga; Barangan makanan dan keperluan asasi tertentu yang dipantau harga; Acara Jualan Murah; Aduan Pengguna; dan Moving Banners.

 

Aplikasi PenggunaBijak ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store. Setakat ini, PenggunaBijak mempunyai lebih 30,000 muat turun secara keseluruhannya, iaitu lebih 18,600 muat turun dari Google Play Store dan lebih 12,300 melalui Apple App Store.

 

Pihak JPES dalam kenyataannya, menyarankan para pengguna untuk mengguna pakai aplikasi PenggunaBijak bagi membuat perbandingan harga dan pilihan, di mana harga barangan adalah berbeza dari satu kedai ke satu kedai yang lain, tertakluk pada faktor, antaranya sumber bekalan, kualiti dan kapasiti.

 

Memandangkan barangan, seperti sungkup muka, barangan kebersihan dan pelindungan diri dianggap sebagai barangan keperluan asasi dalam situasi pandemik ini, JPES ingin menasihatkan para peniaga untuk menjual barangan tersebut pada harga yang munasabah juga berpatutan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tersebut dalam situasi pandemik masa ini.

 

Dalam hal ini, pihak JPES akan mengarahkan para peniaga untuk menghadapkan maklumat dan justifikasi atas kenaikan harga barangan tersebut sekiranya harga yang dijual dianggap terlalu tinggi dan tidak munasabah.

 

Di kesempatan ini, JPES menyeru kerjasama berterusan daripada pihak peniaga untuk memberikan maklumat-maklumat harga dan stok yang tepat juga benar, di mana pemberian maklumat palsu kepada pegawai dan kakitangan kerajaan adalah menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman, di bawah Bab 177 Kanun Hukuman Jenayah, yang boleh membawa hukuman penjara hingga enam bulan atau denda BND4,000 atau kedua-duanya.

 

Orang ramai, khususnya para pengguna boleh membuat aduan mengenai amalan perniagaan yang tidak wajar, termasuk mengelirukan pengguna (tidak memberikan tempoh waranti, seperti yang dijanjikan), membuat kenyataan palsu (menjual barangan terpakai sebagai baharu) dan mengambil kesempatan kepada pengguna (mengenakan caj tambahan tanpa pengetahuan pengguna).

 

Selain itu, pengguna juga boleh melaporkan sebarang aduan mengenai peniaga yang menjual barangan, yang dikawal harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan, tidak mempamerkan tanda harga di premis perniagaan, dan mengadakan acara jualan murah yang tidak beretika.

 

Dalam keadaan pandemik, pengguna boleh membuat aduan ke JPHEP, JPES jika terdapat peniaga yang memberi maklumat yang tidak tepat mengenai kenaikan harga yang tidak munasabah bagi barangan asasi tertentu yang dipantau oleh pihak kerajaan. Aduan berkenaan akan dinilai sewajarnya.

 

Sebarang isu hal ehwal pengguna yang berkaitan dengan amalan perniagaan yang tidak beretika, orang ramai boleh menghubungi JPES menerusi talian Pengguna Darussalam 123 atau WhatsApp ke +673 8333123. Aduan pengguna juga boleh disalurkan melalui PenggunaBijak atau e-mel ke 'aduanpengguna@jpes.gov.bn'.

 

JPES melalui JPHEP akan menghubungi pengadu untuk memaklumkan, bahawa aduan telah diterima, seterusnya mendapatkan mana-mana maklumat tambahan dan dokumen sokongan, seperti resit pembelian daripada pengadu.

 

Oleh itu, pengadu adalah disarankan untuk memberikan maklumat yang lengkap dan bukti yang sahih bagi membantu JPES untuk mengendalikan aduan berkenaan. Pengadu akan dimaklumkan mengenai sebarang hasil penelitian juga penyelesaian sebelum aduan ditutup.

 

Sewaktu pandemik ini juga, JPES mengaktifkan Business Continuity Plan (BCP) bagi menyokong Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan jangkitan COVID-19, khususnya memelihara keselamatan warga JPES. Namun, JPES melalui JPHEP akan berusaha sebaiknya untuk menangani aduan pengguna dengan cekap.

 

Dalam masa yang sama, orang ramai adalah diharap untuk sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bersabar, sementara JPES melalui JPHEP akan berusaha menangani aduan yang diterima.

 

Menurut pihak JPES, aplikasi PenggunaBijak sedang menjalani proses penambahbaikan dan dijangka selesai pada hujung tahun ini. Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan, termasuk membolehkan pengguna untuk membuat perbandingan harga dengan lebih mudah melalui fungsi 'search', 'sorting' dan 'filter'; menyediakan lebih banyak maklumat kepada pengguna; dan meningkatkan 'user interface'.

 

Para pengguna disaran untuk mengamalkan konsep Pengguna Bijak dengan mengoptimakan penggunaan aplikasi PenggunaBijak melalui kaedah, seperti membuat perbandingan harga dan pilihan; mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan hal ehwal kepenggunaan; dan menyalurkan aduan secara rasmi dengan dokumen yang lengkap.

 

Pengguna yang bijak boleh membantu menyumbang kepada melahirkan penggunaan domestik yang kukuh dan mendisiplinkan persekitaran perniagaan yang beretika, seterusnya akan mendukung memacu pertumbuhan ekonomi negara.


Close