Manage PermissionsManage Permissions

Merafakkan rasa syukur raikan Aidiladha



​Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman








KUALA BELAIT, Rabu, 21 Julai. - Rakyat Negara Brunei Darussalam hari ini merafakkan rasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana diberikan peluang dan kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah dengan laungan takbir dan dalam suasana norma baharu.



Sambutan Hari Raya Aidiladha disambut dengan mengerjakan sembahyang sunat di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, dan Masjid Mohammad Jamalul Alam merupakan masjid tumpuan bagi Daerah Belait.



Sembahyang Sunat Aidiladha diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Mohammad Jamalul Alam, Akup bin Haji Lamat dan seterusnya membacakan Khutbah Hari Raya Aidiladha.



Bacaan khutbah terlebih dahulu menzahirkan rasa syukur atas rahmat yang dilimpahkan ke atas negara dalam mengawal penularan COVID-19, namun begitu janganlah ia menjadikan kita lalai dan leka malahan kita seharusnya menjadi semakin berdisiplin dan mematuhi nasihat-nasihat daripada pihak kerajaan.



Ibadah korban yang dilaksanakan itu selain sebagai satu ibadah yang menghasilkan ganjaran pahala, ia juga medan tarbiah dalam membentuk sifat mahmudah atau terpuji dan nilai-nilai Islam yang luhur dalam diri seseorang.



“Antara sifat terpuji yang dibentuk melalui ibadah korban ini ialah mendidik jiwa ke arah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala; mengikis sifat tamak dan mengujudkan sifat murah hati kerana membelanjakan harta ke jalan Allah Subhanahu Wata’ala; menanam sifat ikhlas dalam menjalankan apa jua ibadah; menyemai sikap sentiasa bersyukur terhadap segala nikmat dan rezeki serta membentuk jiwa untuk mengasihi insan lain, seperti dilihat jelas melalui pengagihan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya,” demikian isi teks khutbah disampaikan.



Sebagai umat Islam, kita harus mencontohi keteguhan iman dan kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan semasa Baginda diuji dengan peristiwa korban yang menguji keimanan, ketakwaan dan kesabaran.

Close