Manage PermissionsManage Permissions

Sertai para jemaah tunaikan Sembahyang Sunat Aidiladha



​Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman








BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Julai. - Peristiwa korban berasal daripada perintah Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Ibrahim Alaihissalam untuk menyembelih putera baginda, iaitu Nabi Ismail Alaihissalam.


Sesungguhnya, peristiwa ini benar-benar menguji keimanan dan kesabaran dua beranak ini, namun akhirnya, Allah Subhanahu Wata'ala menggantikan Nabi Ismail Alaihissalam, yang akan dijadikan korban itu kepada seekor kibas sebagai ganti.


Sebagai umat Islam, sudah sewajarnya kita mencontohi kesabaran Baginda berdua dalam menghadapi apa jua ujian dan dugaan.


Ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa menguji keimanan, ketakwaan dan kesabaran umat manusia itu dengan pelbagai ujian, sama ada ujian yang berupa kesenangan ataupun ujian yang berupa kesusahan.


Perkara tersebut, dijelaskan oleh Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murad semasa menyampaikan Khutbah Sunat Hari Raya Aidiladha, yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, di sini.


Beliau, seterusnya menjelaskan, pada tahun ini, negara kita sekali lagi menangguhkan ibadah haji ke Baitullah.


"Memberangkatkan jemaah menunaikan haji di Tanah Suci Makkah Al-Mukarammah. Ketetapan ini, dibuat adalah berdasarkan kerana perkara keselamatan dan kekhuatiran berhubung keadaan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, pada masa ini.


"Sesungguhnya keselamatan adalah perkara yang amat penting dan keselamatan itu sekali-kali tidak boleh diabaikan. Oleh itu, keselamatan itu mesti dijaga serta dipelihara dan apa-apa jua perkara yang tidak selamat dan memudaratkan, mestilah kita elakkan," tambahnya.


Alhamdulillah, ketika negara di luar sana masih lagi bergelut menentang COVID-19, Negara Brunei Darussalam dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua masih boleh meraikan Hari Raya Aidiladha kerana situasi COVID-19, di negara ini adalah terkawal atas kerjasama dan komitmen semua pihak dengan pendekatan Whole of Nation.


Selain dapat meraikan Hari Raya Aidiladha dengan aman, kita juga bersyukur di negara ini dikurniakan seorang pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat dan penduduk, turut berangkat menyertai para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong bagi menunaikan Sembahyang Sunat Aidiladha bersama-sama.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442H; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen serta kerabat diraja yang lain.


Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah, diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.


Terdahulu, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murad pada khutbah keduanya menjelaskan, bahawa ibadah korban itu terbahagi kepada dua, iaitu korban wajib dan korban sunat.


Menurut Hukum Syar'ie, beliau menerangkan daging korban wajib, seperti korban nazar adalah wajib disedekahkan kesemuanya, termasuklah kulit dan tanduknya.


"Sementara daging korban sunat bolehlah dilakukan seperti berikutnya :


"Pertama : Daging korban tersebut sunat disedekahkan kesemuanya kepada fakir dan miskin. Walau bagaimanapun bagi orang yang berkorban, bolehlah mengambil sedikit, iaitu sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat dari korban tersebut.


"Kedua : Daging korban tersebut harus dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga sedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga untuk orang yang berkorban," jelasnya.


Sejurus selesai, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja, seterusnya berangkat meninggalkan majlis.






Close