Manage PermissionsManage Permissions

Ibadah korban eratkan ukhuwah



‚ÄčOleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman







BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Julai. - Melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan sudah lama diamalkan semenjak zaman Nabi Adam Alaihissalam lagi dan ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala yang menceritakan tentang korban yang dilakukan oleh putera-putera Nabi Adam Alaihissalam :


Tafsirnya : ''Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan suatu persembahan korban (kerana mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya, dan tidak diterima (korban) daripada yang lain''.


Ibadah korban mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Berkorban penghapus dosa bersamaan dengan perintah mendirikan kedua-dua sembahyang hari raya dan mengeluarkan zakat.


Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu Wata'ala :


Tafsirnya : ''Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)''.


Ibadah korban, bukan sahaja dapat memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat juga dapat menjalinkan hubungan kasih sayang dan perpaduan sesama umat Islam, bahkan juga dapat memberikan kebaikan dalam jiwa, khususnya kepada orang yang menerima korban lebih-lebih lagi kepada golongan fakir dan miskin.


Di Negara kita Brunei Darussalam, kita selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di negara ini amat bertuah, bahkan sangat beruntung kerana dikurniakan Ulul Amri atau Raja, yang bukan sahaja mengagungkan perintah Allah Subhanahu Wata'ala, bahkan mendahului dalam melaksanakan ibadah korban.


Sehubungan itu, pagi tadi berlangsungnya Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda, yang berlangsung di luar pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke upacara tersebut sejurus selesai menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen serta kerabat diraja yang lain.


Keberangkatan baginda serta kerabat diraja ke pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442H; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.


Pada majlis tersebut, penyembelihan seekor kambing disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, manakala penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat baginda yang selebihnya, disempurnakan di Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan, di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong, Negara Brunei Darussalam; dan Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak, di Lot 'G', Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut, Negara Brunei Darussalam.


Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Pada tahun ini, sebanyak 190 ekor binatang korban, iaitu 176 ekor sapi dan 14 ekor kambing dikorbankan juga sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada sejumlah 15,357, iaitu 14,061 orang asnaf fakir dan miskin juga tanggungan, 789 dalam kalangan ibu tunggal dan 507 dalam kalangan warga emas, di seluruh negara.


Ibadah korban hanya boleh dilakukan pada setiap bulan Zulhijah, iaitu pada 10 hari nahar dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah), yang merupakan satu lagi peluang bagi kita untuk melipatgandakan saham akhirat yang menjanjikan suatu keuntungan yang berlipat kali ganda.


Semoga Aidiladha kali ini membawa seribu makna buat umat Islam, di negara kita.




Close