Manage PermissionsManage Permissions

Hulur bantuan, ringankan beban



​Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





  • SERAMAI lapan anak yatim dan 12 orang golongan yang kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan Kampung Serasa; Kampung Kapok; Muara dan Meragang menerima sumbangan derma tersebut.
  • DI bawah inisiatif CSR, para kakitangan syarikat telah mengumpul sejumlah BND1,642 sementara syarikat tersebut menyumbang sebanyak BND6,000. Derma berupa sumbangan wang termasuk dengan barang-barang keperluan harian.




MUARA, Selasa, 27 April. - Dalam menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan ini, Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd. mengadakan Majlis Penyampaian Derma bagi Anak-Anak Yatim dan Golongan Yang Kurang Bernasib Baik yang berlangsung di Dewan Al-Fath, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), hari ini, di sini.


Seramai lapan anak yatim dan 12 orang golongan yang kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan Kampung Serasa; Kampung Kapok; Muara dan Meragang menerima sumbangan derma tersebut.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan derma ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Serasa.


Juga turut menyampaikan sumbangan derma ialah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd, Chen Lian Cai.


Majlis merupakan sebahagian daripada program tahunan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan untuk meringankan beban keluarga dan anak-anak yatim bagi Sambutan Hari Raya yang akan datang.


Di bawah inisiatif CSR, para kakitangan syarikat telah mengumpul sejumlah BND1,642 sementara syarikat tersebut menyumbang sebanyak BND6,000. Derma berupa sumbangan wang termasuk dengan barang-barang keperluan harian.


Dalam pada itu, syarikat berkenaan berharap semoga kita sentiasa dilimpahi berkat, kedamaian dan kegembiraan pada bulan Ramadan yang mulia ini.



Close