Manage PermissionsManage Permissions

BILIF cerminkan kredibiliti, komitmen tawarkan program berkualiti tinggi



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan - Centre for Islamic Banking, Finance and Management (CIBFM) mengadakan Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula, di Tarindak D'Seni, di ibu negara, di sini.

 

Pada acara tersebut, diumumkan bahawa CIBFM akan beroperasi dengan nama baharu, iaitu Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei - Brunei Institute of Leadership and Islamic Finance (BILIF).

 

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

 

Juga hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

 

Pada majlis itu, Pengarah Urusan AMBD, Dayang Hajah Rokiah binti Haji Badar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BILIF, dalam ucapannya, antara lain menekankan, peranan BILIF dalam mengatasi jurang kemahiran dan menyediakan peluang peningkatan juga keterampilan semula bukan hanya bagi industri kewangan, malahan juga bagi sektor swasta dan awam.

 

Beliau juga menyatakan, bahawa BILIF akan terus berusaha untuk meningkatkan bakat tempatan, sesuai dengan visi BILIF, iaitu untuk mewujudkan pakar-pakar industri yang berintelek dan berkemahiran tinggi, terutamanya dalam industri kewangan Islam.

 

Majlis diteruskan dengan Pelancaran Logo BILIF oleh tetamu kehormat, diikuti dengan Tayangan Video Korporat BILIF, dan diselajurkan dengan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Singapore Management University (SMU) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

 

Penjenamaan semula ini diperkenalkan untuk lebih mencerminkan kredibiliti dan komitmen organisasi dalam menawarkan program juga acara yang berkualiti tinggi.

 

Misi BILIF adalah untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang kewangan Islam juga kepimpinan melalui program dan acara-acara bertaraf antarabangsa.



Close