Manage PermissionsManage Permissions

Kemerdekaan bukan benda, tetapi nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala



Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman / Foto : Ihsan Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Pejabat Kebawah DYMM Istana Nurul Iman

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, kita jangan lupa, Sambutan Hari Kebangsaan bukan untuk berpesta semata-mata, tetapi untuk mengenang dan memahami akan harga kemerdekaan, bahawa kemerdekaan itu bukan benda yang dibeli, tetapi bulat-bulat datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Walaupun keadaan berbeza, namun Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini masih saja dapat dilangsungkan dengan izin Allah. Ini juga adalah nikmat untuk disyukuri.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, Tahun 2021.

 

Kebawah DYMM bertitah, Kemerdekaan, mengenalkan kita kepada banyak perkara, antaranya bagaimana untuk membangun diri dan negara? Misalnya, dari malas kepada rajin, dari lambat kepada cepat dan dari mundur kepada maju. Inilah 'matlamat' utama yang perlu dituju oleh bangsa merdeka.

 

''Bangsa yang merdeka, tidak boleh lalai atau lambat bertindak, kerana persekitaran bukan statik, tetapi cepat berubah, dan perubahan itulah namanya 'perkembangan','' titah baginda.

 

Jelas titah baginda, bangsa merdeka, mesti mengikuti perkembangan dan mencipta kemajuan. Kemajuan itu terbahagi dua : kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual. Kemajuan fizikal dicapai dengan teknologi dan tulang empat kerat, sementara kemajuan spiritual pula digarap dengan belajar dan praktikal ibadat.

 

''Inilah cara kita mengisi kemerdekaan, iaitu dengan menjana kemajuan fizikal, sejajar dengan kemajuan spiritual. Kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk memenuhi tuntutan negara.

 

''Maka untuk itu, kita perlu memiliki modal insan yang gigih dan berkualiti, yang berpendidikan duniawi dan ukhrawi serta mampu untuk menangani segala cabaran,'' baginda titah.

 

Di kesempatan ini, Kebawah DYMM juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta Ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37 pada tahun ini.

 

Baginda juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam mahupun luar negara, pasukan-pasukan keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua.



Close