Manage PermissionsManage Permissions

Hengyi sumbang USD3.5 bilion pada pertumbuhan KDNK NBD 2020



Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin



 

 

JERUDONG, Khamis, 14 Januari. - Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi) berjaya mengeksport lebih daripada 6.38 juta ton produk petroleum dan 1.7 juta ton produk petrokimia, seterusnya mencapai hasil penjualan sebanyak USD3.5 bilion tahun lalu, secara langsung menyumbang pada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Tahun 2020.

 

Menurut perangkaan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dan statistik perdagangan dalaman Hengyi, bermula Januari hingga September, nilai pengeluaran Hengyi menyumbang kepada 4.48 peratus daripada jumlah KDNK NBD, dan 50.57 peratus daripada jumlah perdagangan Brunei, di mana eksport menyumbang hingga 44.6 peratus dan import sebanyak 59.27 peratus daripada angka nasional.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi, Chen Lian Cai semasa menyampaikan ucapannya, pada Hengyi Industries Media Appreciation Day, yang berlangsung di Restoran Pondok Sari Wangi, Jerudong Park, di sini.

 

Beliau seterusnya menjelaskan, Hengyi juga mencapai beberapa tonggak pencapaian yang baharu pada tahun 2020.

 

"Hengyi mengadakan perjanjian komersial bersama Syarikat Brunei Shell Marketing sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk membekalkan produk bahan bakar di pasaran tempatan.

 

"Bermula dari Mei hingga Disember 2020, Hengyi telah membekalkan ke pasaran tempatan sejumlah 283 ribu tan produk bahan bakar.

 

"Saya dengan senang hati mengatakan bahawa dengan tonggak pencapaian yang baharu ini, kami dapat membantu menyumbang kepada kepelbagaian industri hiliran negara, dan membuat kemajuan yang signifikan dalam membantu negara merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan lestari," jelasnya.

 

Chen Lian Cai, seterusnya menjelaskan, bahawa Hengyi akan terus komited untuk mengambil pekerja tempatan dan kami juga membuat kemajuan dalam mendukung 'Bruneianisation Directive'.

 

Pada masa ini, Hengyi telah menggaji seramai 675 kakitangan tempatan, iaitu sebanyak 40 peratus pada tahun pertama operasi, dan Hengyi, seterusnya berhasrat untuk meningkatkan usaha pengambilan pekerja tempatan setiap tahun, ujarnya.

 

Hengyi juga memberikan peluang kepada pekerja tempatan untuk mengembangkan kemahiran mereka dengan pelbagai program latihan dan mendorong kakitangan berpengalaman untuk berkongsi pengetahuan mereka, tambahnya.

 

"Komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan ekonomi NBD dan kami telah membuat kemajuan yang signifikan dalam meningkatkan nilai dalam negara atau pengembangan ICV (In-Country Value) dengan membuka lebih banyak peluang bersama peniaga tempatan.

 

"Secara keseluruhannya, kami bekerjasama bersama 87 peniaga tempatan dan mencipta sejumlah 1,500 peluang pekerjaan secara tidak langsung, sama ada dalam perkhidmatan kejuruteraan, seperti bahan kimia, pembinaan, penambatan dan perintis, pemeriksaan komersial; atau dalam sektor logistik, seperti keselamatan, penerbangan sewaan, katering, pengangkutan, penyewaan apartmen, pembersihan; atau dalam bidang, seperti perkhidmatan pembiayaan," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi lagi.

 

Melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility), beliau, seterusnya menjelaskan, bahawa Hengyi turut memberikan beberapa sumbangan positif kepada para belia, masyarakat dan persekitaran Brunei.

 

"Untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakat belia tempatan, kami mengadakan Program Biasiswa melalui kerjasama di antara Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Zhejiang University; juga Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Politeknik Petrokimia Lanzhou, China.

 

"Secara keseluruhan, Hengyi menghantar seramai 203 pelajar Brunei untuk melanjutkan pelajaran mereka di China dalam bidang Kejuruteraan Petrokimia. Pada tahun 2020, kami melancarkan kolaborasi baharu bersama Politeknik Brunei, dan kami juga sedang berbincang bersama universiti tempatan dan sekolah teknik lain untuk membuat program biasiswa baharu," ujarnya.

 

Beliau, seterusnya berkata, menghadapi wabak COVID-19, Hengyi secara aktif telah menyokong masyarakat setempat untuk saling membantu mengatasi pada waktu yang sukar ini dan pada tahun 2020, Zhejiang Hengyi Group memimpin untuk menyokong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam memerangi wabak tersebut dengan menyumbangkan sebanyak USD1 Juta kepada Kementerian Kesihatan.

 

"Kami juga melakukan usaha sumbangan tahunan untuk menyediakan keperluan asas kepada keluarga yang kurang bernasib baik pada bulan Ramadan.

 

"Mengenai sumbangan Hengyi untuk perlindungan alam sekitar, kami melakukan dua projek penghutanan pada tahun 2020 dan berharap untuk menanam lebih banyak anak pokok secara berkala. Kami juga mengenal pasti dan memindahkan spesies 'seagrass' yang terdedah dari Pulau Muara Besar ke Pulau Bedukang untuk membantu melindungi keanekaragaman dan persekitaran semula jadi negara," tambahnya.

 

Atur cara seterusnya diikuti dengan Chen Lian Cai menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada jemputan media yang hadir.

 

Juga hadir, ahli-ahli media daripada Radio Televisyen Brunei (RTB); Jabatan Penerangan juga media-media swasta lainnya.



Close