Manage PermissionsManage Permissions

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap



​Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan menerima mengadap Pengerusi Zhejiang Hengyi Group dan Hengyi Industries Sdn. Bhd., Tuan Qiu Jianlin.

 

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group dan Hengyi Industries Sdn. Bhd. antara lainnya menyentuh mengenai perkembangan Loji Penapis Minyak dan Petrokimia Pulau Muara Besar serta sumbangannya kepada ekonomi negara dan penjanaan peluang-peluang perniagaan serta pekerjaan tempatan daripadanya.

 

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein; Timbalan Menteri Tenaga, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn. Bhd., Chen Lian Cai.

 

Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd. merupakan syarikat usaha sama di antara Strategic Development Capital Fund bagi pihak Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Zhejiang Hengyi Group dari Republik Rakyat China. Dengan pelaburan sebanyak USD3.445 bilion ini, projek ini merupakan pelaburan langsung asing terbesar di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

Hengyi Industries Sdn. Bhd. mula membina loji penapisan minyak pada tahun 2017 dan seterusnya memulakan penghasilannya pada November 2019.

 

Melalui penghasilan petrokimia berskala mega ini, Hengyi Industries Sdn. Bhd. berperanan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sosial jangka panjang NBD, sekali gus menyediakan asas kukuh ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

Setakat ini, Hengyi Industries Sdn. Bhd. telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 666 warganegara Brunei dan peluang perniagaan kepada 59 Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, penyediaan makanan, pengangkutan dan logistik.

 

Selain itu, Hengyi Industries Sdn. Bhd. juga menawarkan 203 biasiswa kepada warganegara Brunei untuk melanjutkan pelajaran di luar negara sejak 2014, di mana sebanyak 68 graduan yang telah menamatkan pengajian kini bekerja di Hengyi Industries Sdn. Bhd.

 

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.





Close