Manage PermissionsManage Permissions

Memahami karya sastera tempatan



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 





BERAKAS, Sabtu, 21 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengungkayahkan Pantaran Sastera DBP 2020: Bedah Karya bagi buku-buku penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) dan dua buah karya yang dibicarakan oleh dua orang ahli akademik dalam bidang Kesusasteraan Melayu.

 

Bedah karya tersebut dibahagikan kepada dua sesi, iaitu Sesi I : Bedah Karya Novel 'Arus Ke Kuala' hasil karya Tarif bin Haji Abdul Hamid, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) bagi tahun 2018 dengan pembicara karya, iaitu Dr. Haji Ramlee bin Haji Tingkong.

 

Manakala Sesi II : Bedah Karya Kumpulan Puisi 'Perjalanan Burung Putih' hasil karya Allahyarham Awang Haji Mahadi bin Haji Metarsad atau dikenali dengan nama pena Mahadi R.S., penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) bagi tahun 2017 dengan pembicara karya, iaitu Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

 

Impak daripada pembicaraan karya tersebut, karya-karya sastera tersebut diusahakan penelitiannya dalam kalangan ahli akademik yang dimuatkan dalam jurnal Pangsura, jurnal Pengkajian dan Penelitian Sastera Asia Tenggara sebagai sumbangan sastera terhadap pembangunan dan pengembangan sastera tempatan.

 

Di samping itu juga, projek tersebut bertujuan untuk memperkenalkan tokoh-tokoh penulis dan sastera tempatan serta dimanfaatkan bersama oleh para intelektual sastera mahupun para penggiat dan peminat sastera.

 

Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

 

Dalam ucapan Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin selaku Pengerusi Pantaran Sastera DBP: Bedah Karya 2020 mengongsikan, Bedah Karya Sastera merupakan program tahunan Bahagian Sastera dan Majalah di bawah projek Pantaran Sastera DBP.

 

Pantaran Sastera ini juga salah satu jenama kegiatan sastera DBP.

 

Menurutnya, projek ini juga menjadi tanda aras sastera Brunei dan medan perkumpulan penulis / penggiat seni sastera tempatan sebagai ruang bicara, diskusi sastera, ledakan ilmu dan merupakan gelanggang pemikir dan penulis dalam pertemuan intelektual dan kreatif.

 

''Program Bedah Karya ini terbahagi kepada dua, iaitu Bedah Karya Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A.Write Award) dan juga penulis Brunei (sama ada penulis mapan mahupun penulis muda),'' jelasnya lagi.

 

Beliau juga menjelaskan bahawa tujuan utama bedah karya ini diadakan adalah salah satu pendekatan untuk memahami dan mengapresiasi karya-karya sastera, khusus karya sastera tempatan.

 

Sesi Bedah Karya tersebut juga boleh disaksikan menerusi siaran langsung di Facebook melalui saluran media elektronik, iaitu Facebook : 'DBP Brunei Darussalam'.

 

Acara tersebut diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

 


Close