Manage PermissionsManage Permissions

Penggunaan antimikrob tidak betul, berlebihan harus diambil perhatian



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 November. - Pada abad Ke-20 lalu, satu penemuan penting terjadi apabila antibiotik pertama, dinamakan penisilin ditemui.

 

Sebelum adanya antibiotik, kematian akibat jangkitan yang tidak dapat dirawat sering kali terjadi dan menjadi suatu perkara lumrah.

 

Penemuan antibiotik penisilin merubah lanskap rawatan perubatan setelah itu, kemudiannya diikuti dengan penemuan ubat-ubat antimikrob lain yang aktif melawan berbagai kuman, termasuk kulat, parasit dan bakteria lain.

 

Kumpulan ubat yang secara kolektif disebut sebagai antimikrob, menunjukkan keberkesanan terhadap jangkitan, namun mikrob atau kuman mampu menunjukkan rintangan terhadap ubat antimikrob sebagai tindak balas semula jadi atau Antimicrobial Resistance (Rintangan Antimikrob) - AMR.

 

Bagi beberapa kelas antimikrob, fenomena AMR ini meningkat dengan cepat sebaik sahaja ia digunakan dalam kalangan manusia.

 

Pelbagai usaha dilaksanakan oleh para penyelidik sejagat untuk menangani fenomena ini dengan menggunakan kaedah yang lebih berkesan dengan penemuan antimikrob jenis 'broad spectrum'.

 

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan Yang Berhormat sempena Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia 2020, 18 - 24 November 2020, dengan tema 'Bersama dalam Memelihara Antimikrob' (United to Preserve Antimicrobials).

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, walau bagaimanapun kadar penemuan ubat antimikrob yang baharu tidak dapat menandingi kadar penularan AMR dan hanya mampu menangani masalah AMR secara terhad.

 

Ujar Yang Berhormat, kesan daripada penularan AMR ini bermakna bakteria, kulat dan parasit tidak lagi mampu dirawat secara berkesan sepenuhnya oleh ubat antimikrob yang sedia ada pada masa ini.

 

Oleh demikian, risiko terhadap penyebaran jangkitan yang menyebabkan penyakit serius dan boleh mengakibatkan kematian semakin meningkat.

 

Sementara itu, Yang Berhormat berkata, berbagai faktor menyumbang kepada peningkatan AMR yang tidak terkawal ketika ini, di mana faktor utama yang harus diambil perhatian adalah penggunaan antimikrob yang tidak betul atau kurang berhemah dan berlebihan di sektor-sektor kesihatan manusia, pemakanan dan pertanian.

 

Dalam sektor kesihatan manusia pula, jelas Yang Berhormat menjelaskan, penyalahgunaan antibiotik mungkin semakin berleluasa, khususnya semasa pandemik COVID-19 dan masalah penularan jangkitan AMR adalah lebih membimbangkan di negara-negara yang belum membangun dengan kurangnya akses kepada air bersih dan sanitasi.

 

"Di Negara Brunei Darussalam, kita juga tidak terkecuali daripada ancaman AMR. Kita mengalami kesan buruk AMR, termasuk jangkitan yang tidak dapat diubati, peningkatan morbiditi dan kematian, peningkatan kos dari aspek peningkatan tempoh pesakit berada di hospital dan lanjutan rawatan (termasuk rawatan dengan antimikrob).

 

"Bahaya AMR ini memerlukan usaha yang bersepadu dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat dalam penggunaan antimikrob, yang bukan hanya terdiri daripada pekerja kesihatan dan pihak berkepentingan yang lain, malahan juga keseluruhan lapisan masyarakat," terang Yang Berhormat.

 

Seterusnya, Yang Berhormat menjelaskan, di tahap sejagat, Rancangan Tindakan Sedunia (Global Action Plan) untuk menangani masalah AMR ini disokong di World Health Assembly Ke-68, pada tahun 2015, antara objektif utama rancangan tersebut adalah untuk memupuk kesedaran dan pemahaman AMR melalui komunikasi berkesan, pendidikan dan latihan.

 

Oleh itu, jelas Yang Berhormat, Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia atau World Antimicrobial Awareness Week (WAAW) diraikan, pada setiap bulan November bagi meningkatkan kesedaran mengenai AMR sejagat dan untuk mendorong amalan-amalan terbaik dalam mengatasi penyebaran dan kemunculan jangkitan yang mampu melawan antimikrob.

 

Yang Berhormat juga berkata, di mana pada bulan Mei 2020, pihak WHO, FAO dan OIE, dikenali sebagai 'The Tripartite' dan pihak-pihak berkepentingan yang lain mengadakan bengkel secara maya (virtual) untuk membincangkan kaedah meningkatkan lagi impak WAAW dam antara dapatan daripada bengkel tersebut adalah perubahan istilah 'antibiotik' menjadi 'antimikrob', mempunyai maksud yang lebih luas dan lebih inklusif; mengetengahkan kepentingan penglibatan juga kerjasama berterusan daripada semua pihak berkepentingan; dan menggunakan kaedah komunikasi yang lebih berkesan.

 

Perubahan daripada mesyuarat tersebut, menurut Yang Berhormat, dicerminkan dalam tema WAAW tahun ini, 'Bersama dalam Memelihara Antimikrob', menggambarkan misi WAAW secara ringkas dan menyeluruh.

 

"Ini menggambarkan komitmen bersama, bukan sahaja untuk memerangi AMR semata-mata, akan tetapi ke arah peningkatan keselamatan pesakit dan kualiti penjagaan kesihatan. Perubahan kepada istilah yang lebih meluas ini diharap akan menggalakkan penglibatan semua sektor yang menggunakan antimikrob dan seterusnya memupuk kebersatuan dalam pendekatan kepada isu-isu kesihatan secara amnya atau 'One Health Approach'.

 

"Oleh yang demikian, dalam meningkatkan kesedaran untuk menangani AMR, peranan orang ramai adalah sangat penting.

 

"Antara perkara yang dapat dilakukan adalah seperti berikut : (A) Hanya mengambil ubat antimikrob di bawah pengawasan doktor; (B) Mengambil ubat antimikrob seperti yang diarahkan pada label ubat (termasuk dos dan tempoh pengambilan ubat); (C) Menghabiskan ubat antimikrob mengikut tempoh yang ditetapkan pada label ubat, walaupun sudah berasa pulih; (D) Tidak berkongsi ubat antimikrob bersama orang lain; dan (E) Mengurangkan risiko jangkitan secara menyeluruh, iaitu dengan :

 

"(i) Mengamalkan kebersihan tangan; (ii) Menjauhkan diri daripada orang lain apabila tidak berasa sihat; (iii) Penyediaan dan penggunaan makanan yang bersih; (iv) Penggunaan air bersih; dan (v) Melakukan vaksinasi secara berkala untuk mengelakkan jangkitan yang tertentu," terang Yang Berhormat menjelaskan.

 

Yang Berhormat turut berkata, sementara itu, mereka yang bekerja di sektor kesihatan juga mempunyai peranan signifikan kerana usaha dalam melawan AMR ini boleh ditingkatkan lagi dengan pembarigaan pengetahuan kesihatan (health literacy) sesama profesional kesihatan dan orang awam mengenai perbezaan jenis-jenis jangkitan dan bila ubat antimikrob boleh digunakan.

 

Selain itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan juga perlu diamalkan ketika merawat pesakit, terutamanya pesakit yang dijangkiti kuman yang mempunyai rintangan kepada antimikrob (drug-resistant microorganisms).

 

Pengawalan penggunaan antimikrob (antimicrobial stewardship) yang baik juga, tambah Yang Berhormat, perlu diamalkan bagi mencegah penggunaan antimikrob tidak berhemah, ini termasuk amalan preskripsi antibiotik yang baik, seperti meneliti semula penggunaan antimikrob dan merujuk kepada garis panduan yang ditetapkan.

 

Terang Yang Berhormat Menteri, dengan bahaya penularan fenomena AMR dan kemunculan penyakit-penyakit berjangkit lain, usaha yang konsisten, tabah dan bersatu daripada semua amatlah diperlukan untuk mengatasi masalah yang boleh mengancam keselamatan kesihatan negara kita tersebut.

 

"InsyaaAllah sebagaimana kejayaan yang dicapai dalam pengawalan jangkitan COVID-19 di negara ini, iaitu dengan berkat penglibatan, kerjasama, sikap pemedulian dan sokongan daripada orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan negara kita akan mampu 'Bersama dalam Memelihara Antimikrob' dengan memastikan penggunaan antimikrob secara berhemah dan betul juga mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan secara amnya, dalam usaha untuk mengatasi AMR sejagat," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.

 

 


Close