Manage PermissionsManage Permissions

Laungan dikir mula bergema



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Maulud bagi Tahun 1442H / 2020M di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison, di sini.

 

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

 

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; Setiausaha Tetap, Pemerintah Angkatan Bersama, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pemerintah, Komandan-komandan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan serta ABDB.

 

Acara dimulakan dengan Sembahyang Maghrib Berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Dikir Syarifil Anam yang diketuai oleh Imam Surau Ad-Difa', Shuib bin Haji Abdullah.

 

Majlis kemudian diikuti dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan diakhiri dengan Dikir Marhaban serta Doa. Majlis tersebut dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi mengawal penyebaran COVID-19.

 

Majlis Pembukaan Dikir Maulud ini turut diadakan secara serentak di masjid dan surau di seluruh perkhemahan ABDB sempena memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

 


Close