Manage PermissionsManage Permissions

Telaga Kekal Air Bawah Tanah dirasmikan



‚ÄčOleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 




KUALA BELAIT, Sabtu, 17 Oktober. - Projek Telaga Kekal Air Bawah Tanah Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang yang siap sepenuhnya pada 14 September 2020 dihasratkan akan dapat meningkatkan komitmen peladang untuk mengusahakan sepenuhnya kawasan penanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran padi di kawasan tersebut melalui penggunaan variasi padi berhasil tinggi serta melaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

 

Tujuan utama projek ini adalah bagi mendapatkan sumber air alternatif di kawasan-kawasan penanaman padi yang belum mempunyai sistem pengairan yang lengkap bagi kegunaan peladang-peladang padi di kawasan tersebut terutama sekali di luar musim utama penanaman padi.

 

Perasmian Telaga Kekal Air Bawah Tanah Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang ini disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong di Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang, Mukim Labi di Daerah Belait.

 

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan semasa ditemui pihak media pada majlis tersebut menjelaskan, objektif Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) ialah untuk meningkatkan keluaran hasil tanaman sama ada sayur-sayuran, buah-buahan ataupun tanam-tanaman termasuk tanaman padi.

 

"Tujuan kita meningkatkan keluaran hasil tanaman padi ialah sebagai sumbangan kepada mempelbagaikan ekonomi dan strategi 'food security' negara," ujarnya.

 

Seperti yang dimaklumi, ujar Yang Berhormat, air adalah sumber terpenting dalam penanaman padi ataupun mana-mana tanaman di mana kita memang mempunyai cabaran dalam mendapatkan air yang banyak dan konsisten bagi memastikan tanaman adalah tumbuh dengan subur.

 

"Alhamdulillah, di Kampung Labi ini kita berjaya mendapatkan sumber air dari bawah tanah sedalam 80 meter dan dengan ini, air ini akan dibagi-bagikan kepada peladang-peladang penanaman padi di kampung ini yang akan membolehkan mereka menanam padi dua kali setahun. Selama ini mereka cuma menanam sekali setahun sahaja. Dengan adanya air telaga ini, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada air hujan sahaja, malah air itu sentiasa ada walaupun bukan musim hujan dan boleh memilih untuk menanam padi berhasil tinggi seperti padi sembada," jelas Yang Berhormat.

 

KSSUP tambah Yang Berhormat, mungkin akan meneroka lagi tempat-tempat lain di seluruh negara untuk mencari sumber air bawah tanah yang akan membantu peladang-peladang di negara ini meningkatkan hasil keluaran mereka.

 

Acara perasmian tersebut juga diselajurkan dengan Acara Mengatam Padi anjuran bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Majlis Perundingan Mukim Labi di kawasan yang sama.

 

Turut hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah; pegawai-pegawai kanan dan para pegawai dari KSSUP; Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Labi.

 

Ketibaan Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan di tapak penanaman padi Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang, Mukim Labi, Daerah Belait serta rombongan telah dialu-alukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput, yang juga selaku Pengerusi MPM Labi; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Awang Yong Khian Fook; dan Ahli-ahli MPM yang lain.

 

Yang Berhormat turut mendengar taklimat ringkas berkenaan penggunaan sumber air daripada Telaga Kekal Air Bawah Tanah khusus bagi Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Saidin bin Namit dan seterusnya menyempurnakan perasmian.

 

Telaga Kekal Air Bawah Tanah Kawasan Kemajuan Pertanian Lot Sengkuang adalah merupakan hasil daripada kejayaan Projek Penerokaan Air Bawah Tanah (Underground Water) yang dilaksanakan oleh KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Preston Geochem (B) Sdn. Bhd.

 

Kerja-kerja penerokaan di tapak ini telah pun bermula pada 2 Jun 2020 yang lalu dan siap sepenuhnya pada 14 September 2020.

 

Majlis kemudian diselajurkan dengan Acara Mengatam Padi yang merupakan kesinambungan kepada penanaman padi yang telah dilaksanakan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan semasa mengadakan lawatan kerja pada 2 Julai 2020 yang lalu.

 

Kawasan Penanaman Padi Lot Sengkuang ini adalah merupakan salah satu kawasan penanaman padi utama negara dengan keluasan kawasan yang telah digazet di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sebanyak 45 hektar dan kawasan tambahan sedia ada sebanyak 255 hektar yang menjadikan kawasan penanaman padi seluas 300 hektar.

 

Pada masa ini, kawasan berkenaan masih belum diusahakan sepenuhnya disebabkan oleh ketiadaan sistem pengairan yang lengkap. Di samping itu, kebanyakan peladang-peladang di kawasan berkenaan hanya akan mengusahakan tanaman padi sekali setahun, iaitu dalam Musim Utama sekitar bulan Ogos hingga bulan April.

 

Oleh itu, melalui usaha-usaha berterusan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, aktiviti pertanian khususnya aktiviti penanaman padi di kawasan berkenaan akan dapat ditingkatkan bagi mendukung Visi dan Misi KSSUP, dan juga Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam meningkatkan pengeluaran padi bagi meningkatkan tahap sara diri bekalan beras dalam negara.


Close