Manage PermissionsManage Permissions

Dikir Maulud bergema



‚ÄčOleh : Saerah Haji Abd Ghani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang jatuh pada 12 Rabiulawal tahun Hijrah, rombongan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengadakan Majlis Berdikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1442H / 2020M.

 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, di sini ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong.

 

Turut hadir, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KSSUP, ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya dan penduduk setempat.

 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd Arif bin Haji Johari diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam.

 

Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

 

Tujuan utama majlis diadakan bagi sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul di samping menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

 

Selain itu, ia juga merupakan aktiviti tahunan KSSUP di mana pada tahun ini majlis dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan.


Close