Manage PermissionsManage Permissions

Dikir Maulud 12 malam kini bermula



​Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita selaku hamba-Nya yang beriman supaya mencintai dan mengasihi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengikut sunnah yang dibawa oleh Baginda.

 

Salah satu cara kita menunjukkan rasa cinta dan kasih kita kepada Baginda ialah dengan membanyakkan bacaan selawat.

 

Berselawat juga merupakan suatu tuntutan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam kitab suci Al-Quran dalam Surah Al-Ahzab, ayat 56, tafsirnya : "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan".

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Mohd. Nasyith bin Superi semasa menyampaikan tazkirahnya mengenai kelebihan berselawat pada Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Selama 12 Malam Berturut-turut, yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

 

Awang Mohd. Nasyith seterusnya menjelaskan, antara kelebihan berselawat adalah sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya : "Sesiapa mengucapkan selawat sekali kepadaku, maka Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali".

 

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, yang juga turut diisikan dengan bacaan Dikir.

 

Bacaan Dikir Assalamualaika dibawakan oleh Kumpulan Pedikir Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Kumpulan Belia Syababussalam Masjid Omar 'Ali Saifuddien, sementara Dikir Bisyahrin dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Belimbing.

 

Manakala Dikir Al-Hamd Allah dibawakan oleh Persatuan PERANGKAP, Kampung Burong Pinggai Berakas, Dikir Ashraqal pula dibawakan oleh Jabatan Pengajian Islam, KHEU.

 

Acara diakhiri dengan Doa Dikir yang dibacakan oleh Begawan Mudim Awang Haji Metassim bin Haji Metussin dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Datu Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

 

Majlis berkenaan yang diadakan adalah sekali gus menandakan bermulanya pembukaan Dikir Syarafil Anam di kesemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun 1442H / 2020M.

 

Majlis antara lain diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.

 

Majlis Ihya Maulidur Rasul seumpama ini akan diadakan di seluruh negara dengan KHEU berkunjung di Masjid Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait pada 19 Oktober 2020 selepas Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


Close