Manage PermissionsManage Permissions

NBD terap dasar, inisiatif keselamatan siber



​Berita dan Foto : Ihsan Media Permata

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof menyatakan bahawa di peringkat serantau, kerjasama dalam keselamatan siber di ASEAN juga ditingkatkan bagi kesiapsiagaan dan kemampuan rantau ini dalam keselamatan siber.  

 

Sejajar dengan perkembangan serantau dan antarabangsa itu, Negara Brunei Darussalam (NBD) juga, menurut Yang Berhormat, menerapkan dasar dan inisiatif untuk kesediaan kita dalam keselamatan siber.

 

Yang Berhormat berucap demikian semasa ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran InnoConnect yang diadakan di Ibu Pejabat DST, hari ini.

 

Sehubungan itu, Yang Berhormat berkata, "Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan ruang siber yang selamat dan terjamin untuk NBD.

 

"Dengan ini, saya sangat berbesar hati untuk mengongsikan dengan awda bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Cyber Security Brunei (CSB) sebagai agensi keselamatan siber kebangsaan untuk NBD. Diketuai oleh Pesuruhjaya sementara, CSB telah memulakan operasinya mulai 1 Ogos 2020 tahun ini".

 

Menurut Yang Berhormat, CSB berfungsi sebagai agensi yang memantau dan menyelaraskan usaha negara dalam menangani ancaman keselamatan siber dan juga jenayah siber.

 

Melalui CSB, strategi, dasar dan kerangka kerja yang mengatur Cybersecurity dirumuskan dan dilaksanakan dengan Infrastruktur Maklumat Kritikal (CIIs) yang relevan sebagai penyusun (constituent) utama, terang Yang Berhormat.

 

"Pembentukan CSB tepat pada masanya sebagai salah satu pemboleh strategi utama dalam perjalanan transformasi digital kami ke arah menjadikan NBD sebagai Negara Pintar.  

 

"Dengan visi, memastikan ruang siber yang selamat dan berdaya tahan untuk negara, CSB kini melaksanakan tiga perkhidmatan utama, iaitu BruCERT (Brunei Computer Emergency Response Team), Makmal Forensik Digital Kebangsaan dan Pusat Pengawasan Siber (CWC)," jelas Yang Berhormat.

 

Selain itu, Yang Berhormat juga mengumumkan bahawa laman sesawang rasmi CSB disiarkan secara langsung pada petang hari ini, dan mengalu-alukan orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai CSB dengan melayari 'www.csb.gov.bn'.

 

"Kini setelah kita mempunyai CSB sebagai agensi barisan hadapan untuk ruang siber yang lebih selamat dan terjamin, saya harap ia akan mendorong lebih banyak agensi, organisasi dan pengguna untuk tampil dengan lebih banyak inovasi dan terlibat dalam inisiatif ekonomi digital dengan lebih yakin," kongsi Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat berharap agar ia dapat meningkatkan minat belia negara untuk menceburkan diri dalam kerjaya sebagai pakar dan profesional keselamatan siber, menjadikan transformasi digital negara lebih cergas dan mampan.

 

Dengan pelancaran perkhidmatan InnoConnect hari ini, Yang Berhormat berasa gembira dapat melihat pendekatan Whole of Nation yang digunakan, menjadikan transformasi digital di NBD lebih jauh.

 

"Saya difahamkan bahawa perkhidmatan InnoConnect, yang diperkenalkan oleh DST, adalah platform yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dan memungkinkan peluang perkongsian untuk penciptaan produk dan perkhidmatan bersama dengan DST.

 

"Ini memang merupakan inisiatif yang sangat menggalakkan yang menyokong sepenuhnya Pelan Induk Ekonomi Digital 2025. Jelas terdapat penyelarasan kuat perkhidmatan DST InnoConnect dengan Pelan Induk tersebut, terutama mengenai perlunya platform Negara Pintar yang sangat penting untuk menyokong penyampaian perkhidmatan yang lancar di antara agensi kerajaan, perniagaan dan warga negara," kata Yang Berhormat.

 

"Tahniah saya ucapkan kepada DST atas inisiatif ini, dan terima kasih kerana menjadikan saya sebahagian daripada perjalanan ini," tambah Yang Berhormat.


Close