Manage PermissionsManage Permissions

KDNK negara catat pertumbuhan positif



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Negara Brunei Darussalam mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif, iaitu sebanyak 2.8 peratus, di mana pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 8.1 peratus; dan sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 1.3 peratus.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, menjelaskan, Negara Brunei Darussalam bertuah kerana mendapat pertumbuhan yang positif ini.

 

Dalam sesi soal jawab bersama pengamal media tempatan, Yang Berhormat, seterusnya berkata, sebahagian besar daripada pertumbuhan tersebut datang daripada aktiviti hiliran minyak dan gas, iaitu daripada Projek Hengyi.

 

''Seperti yang diketahui, Projek Hengyi mula beroperasi pada akhir tahun lalu. Pada masa ini, mereka hampir beroperasi sepenuhnya. Ini jelas dibandingkan dengan tahun lalu ketika kita tidak mempunyai pengeluaran tersebut dan ini telah menunjukkan peningkatan yang ketara,'' jelasnya lagi.

 

Dengan peningkatan aktiviti ekonomi di negara ini, tambahnya, secara tidak langsung ia telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, di mana bermula awal tahun ini hingga kini, sebanyak 4,500 pekerjaan diwujudkan melalui JobCenter Brunei dan masih terdapat lebih 2,000 kekosongan jawatan.

 

Yang Berhormat, seterusnya berharap, agar mereka yang masih lagi mencari pekerjaan akan berusaha untuk memanfaatkan kekosongan yang ada pada masa ini.

 

Pada masa ini, tambahnya, negara telah mula membuka ekonomi, di mana aktiviti ekonomi mula menunjukkan peningkatan.

 

Peningkatan itu, jelasnya, adalah semasa suku kedua tahun ini, iaitu ketika penularan COVID-19 dan negara masih menjalankan beberapa sekatan, termasuk penutupan gim, sekolah memandu, pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya.

 

''Pada masa ini, negara telah mula mengurangkan sekatan, dan ini telah mula membuka peluang bagi para peniaga kembali semula untuk menjalankan aktiviti ekonomi mereka secara normal. Kita akan melihat bagaimana statistik suku ketiga nanti, tapi tiada lagi sekatan ke atas sektor-sektor ini kecuali industri perhotelan,'' ujarnya lagi.

 

Perniagaan-perniagaan yang masih tidak dapat meningkatkan perekonomian mereka, terangnya, berkemungkinan disebabkan oleh berlakunya faktor-faktor lain, selain COVID-19 dan ini memerlukan pelan tindakan berbeza.


Close