Manage PermissionsManage Permissions

Penanaman pokok sempena Hari Ozon Sedunia



Berita dan Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 




BERAKAS, Sabtu, 19 September. - Penanaman pokok boleh mengurangkan pendedahan bumi daripada sinaran UV-B, di mana sinarannya boleh menyebabkan kesan berbahaya dan hakisan lapisan ozon.

 

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) tidak ketinggalan dalam menyertai masyarakat global bagi memperingati Hari Ozon Sedunia 2020, yang lazimnya disambut pada setiap 16 September.

 

Pada sambutan tahun ini, ia bertemakan 'Ozone for Life : 35 Years of Ozone Layer Protection'. Acara dimulakan dengan penanaman pokok dengan kerjasama dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang diadakan di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, di sini.

 

Sebagai salah satu usaha pihak kerajaan ke arah mencapai salah satu strategi utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (NBD) yang dilancarkan pada 25 Julai 2020 lalu, iaitu dengan mencapai sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 pohon pokok baharu menjelang tahun 2035.

 

Antara yang hadir pada acara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussien selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD.

 

Acara dimulakan dengan penanaman pokok buah oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Tenaga, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi di kawasan yang dikhaskan, diikuti dengan penanaman pokok-pokok lain, seperti pokok hiasan (ornamental plant) dan pokok hutan oleh para jemputan yang hadir.

 

Para Menteri seterusnya bergerak meninjau ke zon-zon penanaman pokok di zon-zon yang lain, di mana sejumlah 421 pohon pokok baharu ditanam di taman berkenaan, yang membawa jumlah keseluruhannya kepada 911 pohon pokok.

 

Selain itu, antara pokok-pokok yang turut ditanam di taman berkenaan ialah Gagus (Anacardium Occidentale); Jambu Mawar (Syzygium Jambos); Jambu Putat (Syzygium Malaccense); Luli (Garcinia Hombroniana); Pokok Durian Salat (Annona Muricata); Nona (Annona squamosa); Asam Aur-Aur (Garcinia Forbesii); Dacryodes Macrocarpa; Dacryodes Expansa; Durian (Durio Graveolens); Tarap  (Artocarpus Odoratissimus); Ru Runang (Gymnostoma Nobile); Yellow Tabebuia (Tabebuia Aurea); Pink  Tabebuia (Tabebuia Impetiginosa); dan Pokok Hujan-Hujan (Samanea Saman).

 

Terdahulu, acara tersebut dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan sesi pemanasan badan dan Senaman Aerobik.

 

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari; Pesuruhjaya Tinggi Australia, Puan Yang Terutama Tiffany Anne McDonald; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel; Setiausaha-Setiusaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiusaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan; Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan, Kementerian Tenaga, KSSUP dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn. Bhd., Awang Chen Lian Cai; serta para peserta Larian Maya (Virtual Run) Hari Alam Sekitar Sedunia 2020.

 

Pada ketika ini, taman yang berkeluasan 29 hektar itu diselenggarakan oleh JASTRe bersama KSSUP serta jabatan-jabatan yang relevan dan dirancang akan dibukakan kepada orang ramai dalam masa yang terdekat setelah kerja-kerja pembersihan dan pemeliharaan siap dilaksanakan.




Close