Manage PermissionsManage Permissions

Pembayaran digital, mudah, cepat, selamat



Siaran Akhbar : Autoriti Monetari Brunei Darussalam

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Penularan COVID-19 dan arahan-arahan 'teranah di rumah' dan penjarakan sosial yang berkaitan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembayaran secara digital. Ini termasuk pembayaran yang dibuat melalui internet dan saluran mudah alih.

 

E-Dagang dan dagang mudah alih (mobile commerce) meningkat pada kadar yang pantas kerana para pelanggan lebih memilih untuk membeli-belah secara dalam talian. Ramai peniaga juga mengambil peluang ini untuk meningkatkan keuntungan dengan menyertai trend tersebut.

 

Mengambil kira pembayaran secara dalam talian memerlukan sedikit atau tiada kontak atau tidak memerlukan sebarang interaksi fizikal, pembayaran secara digital adalah satu kaedah pembayaran yang dapat dipraktikkan sambil mengamalkan penjarakan sosial.

 

Sehubungan itu, marilah kita menuju ke arah digital. Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan mengongsikan beberapa artikel mengenai pembayaran digital di Negara Brunei Darussalam, yang merangkumi kelebihan-kelebihannya, jenis-jenis perkhidmatan dan platform pembayaran digital yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam dan cara-cara untuk menggunakannya dengan selamat.

 

Tahukah awda bahawa ada beberapa jenis perkhidmatan dan platform pembayaran digital yang digunakan di Negara Brunei Darussalam setakat ini, antaranya ialah Terminal layan sendiri, seperti Automated Teller Machine (ATM) dan Cash Deposit Machine (CDM).

 

Dengan penularan wabak COVID-19, orang ramai disarankan untuk mengamalkan penjarakan fizikal sebaik mungkin. Oleh itu, sila rujuk kepada laman sesawang dan aplikasi mudah alih bank awda bagi mengetahui lokasi-lokasi ATM dan CDM di Negara Brunei Darussalam.

 

Selain itu, perbankan dalam talian, seperti perbankan elektronik dan perbankan mudah alih. Jangan terlepas tarikh akhir untuk membayar bil-bil awda. Awda boleh mengelakkan dari berhimpun atau beratur dengan menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian atau aplikasi mudah alih. Kemudahan pengurusan kewangan kini di hujung jari awda.

 

Seterusnya, pembayaran tanpa sentuh, seperti pembayaran mudah alih (melalui Kod QR), kad debit dan kredit. Gunakan telefon bimbit atau pembayaran tanpa sentuh kerana melalui platform ini, transaksi dapat dilaksanakan tanpa memegang atau membuat pertukaran wang secara fizikal. Melalui kaedah pembayaran ini, orang ramai boleh membuat transaksi dengan mudah serta dapat memantau status kewangan mereka demi mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan.

 

Selanjutnya, gerbang pembayaran, ataupun 'payment gateway', seperti yang digunakan di laman-laman sesawang e-Dagang. Awda boleh membeli barang keperluan dengan mudah secara dalam talian. Pastikan laman sesawang tersebut menggunakan perkhidmatan 'payment gateway' yang membolehkan transaksi dibuat dengan selamat. Sentiasa semak dan sahkan kesahihan laman sesawang tersebut dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan sebelum membuat sebarang transaksi.

 

Perkhidmatan akhir sekali ialah e-Pembayaran. Terdapat beberapa syarikat FinTech di bawah AMBD Fintech Regulatory Sandbox yang menawarkan produk atau perkhidmatan digital kepada orang ramai. Orang ramai bolehlah merujuk kepada senarai syarikat FinTech di laman sesawang AMBD untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat FinTech yang menawarkan produk dan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan awda. Bagi sebarang pertanyaan, pihak orang ramai bolehlah menghubungi +673 2388388 atau e-mel di 'info@ambd.gov.bn'. 




Close