Manage PermissionsManage Permissions

Operasi 'Merati' denda 7 premis perniagaan



​Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Kementerian Kesihatan melalui Unit Penguatkuasaan Kesihatan menjalankan beberapa sesi Operasi 'Merati' dari 7 September sehingga 13 September 2020 di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

 

Operasi 'Merati' ini dijalankan di premis-premis perniagaan di kawasan-kawasan seperti berikut iaitu di Daerah Brunei dan Muara, operasi dijalankan di kawasan Rimba, Sengkurong, Serusop, Lambak, Pengkalan Gadong dan Masjid Salambigar. Manakala di Daerah Belait, operasi dijalankan di kawasan Pekan Belait dan Masjid Lorong 3 Seria.

 

Seterusnya di Daerah Tutong, operasi tersebut dijalankan di kawasan Kampung Kupang, Kampung Lamunin dan Kampung Telisai. Operasi 'Merati' yang dijalankan di Daerah Temburong pula dijalankan di kawasan Pekan Bangar dan Kampung Rataie.

 

Operasi 'Merati' ini melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Sebanyak 90 premis perniagaan telah diperiksa.

 

Hasil daripada operasi yang dijalankan mendapati bahawa tujuh premis perniagaan tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya sebanyak BND3,000.

 

Antara kesalahan yang dikenakan denda kompaun adalah seperti premis-premis berkenaan termasuklah tidak memakai sungkup muka (face mask) bagi pengendali dan penyedia makanan serta tukang gunting rambut serta pusat rawatan kecantikan dan kesihatan. Selain itu, tidak ada pemeriksaan suhu badan dan tidak menggunakan Kod QR BruHealth.

 

Kementerian Kesihatan sekali lagi ingin menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya.

 

Terutama sekali memastikan pengendali, penyelia makanan dan kakitangan mereka memakai sungkup muka. Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin mengingatkan kepada orang ramai, terutama sekali kepada para jemaah yang berada di kawasan premis masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk memakai sungkup muka dan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

 

Pengurus premis juga dikehendaki untuk mendapatkan Kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak Kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan. Pengurus premis juga diingatkan untuk menggunakan Aplikasi Premise Scan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak menggunakan Aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka.

 

Selain itu, mereka juga perlu mengamalkan langkah-langkah kebersihan di dalam premis perniagaan dan terutama sekali bagi premis makanan diingatkan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan jika menyediakan makanan secara bufet.

 

Orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan di 'www.moh.gov.bn' atau mengunjungi laman sosial di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini. Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada 'health.enforcement@moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Darussalam 123.




Close