Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Kekal 145 kes



​Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan

 


 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan setakat jam 12.00 tengah hari, hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) kekal 145 orang.

 

Hal tersebut dimaklumkan menerusi siaran akhbar Kementerian Kesihatan mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD.

 

Satu kes masih aktif dan sedang mendapatkan rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, di mana ia menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh seramai 141 orang.

 

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa seramai 391 orang masih menjalani pengasingan diri mandatori yang mencatatkan jumlah keseluruhan mereka yang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020, seramai 5,591 orang.

 

Manakala dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 324 sampel Ujian Virus SARS-CoV-2 dilaksanakan dan ini membawa jumlah keseluruhan ujian makmal yang dijalankan sejak Januari 2020, sebanyak 55,087 ujian.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (swab test), terutama sekali bagi mereka yang ingin membuat perjalanan ke luar negara, mereka hendaklah menjalankan ujian saringan SARS-CoV-2 sekurang-kurangnya tiga ke lima hari, sebelum tarikh penerbangan, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

 

Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

 

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ujian 'swab' SARS-CoV-2 bagi perjalanan ke luar negara, bolehlah mendapatkan ujian tersebut di lokasi dan waktu seperti berikut, iaitu Pusat Kesihatan Berakas, waktu operasi, Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam), mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari; dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.

 

Manakala bagi Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam, waktu beroperasi bermula jam 2.00 petang hingga 5.30 petang.

 

Di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, waktu operasi dibuka setiap hari, mulai jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam. Kompleks akan ditutup pada hari-hari kelepasan awam.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari Laman Sesawang Kementerian Kesihatan, iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.




Close