Manage PermissionsManage Permissions

Ambil pengajaran positif daripada pandemik COVID-19



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




 

TEMBURONG, Sabtu, 1 Ogos. - Umat Islam di Daerah Temburong memulakan Sambutan Hari Raya Aidiladha dengan laungan takbir juga menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah di semua masjid, surau dan balai ibadat di daerah ini dan antara masjid yang menjadi tumpuan ialah Masjid Kampung Puni, di sini.

 

Sejurus selepas laungan takbir, pelbagai peringkat lapisan masyarakat di daerah ini, yang berugama Islam bersama-sama menyertai Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah, diimamkan oleh Imam masjid berkenaan, Awang Azry bin Haji Mohammad Yussof.

 

Ketika menyampaikan Khutbah Aidiladha, Awang Azry, antara lain menyentuh mengenai hukum ibadah korban adalah sunat 'muakkadah' (sunat yang dituntut) dan korban ini juga adalah bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam mengorbankan anak kesayangannya.

 

Jelasnya, namun dalam kita sama-sama meraikan dan menyambut hari kebesaran ini, adalah disarankan agar umat Islam di negara ini mengambil baik juga positif tentang kejadian jangkitan wabak COVID-19 yang telah melanda negara baru-baru ini.

 

Menurutnya, sekalipun negara kini sudah dapat membendung penularan jangkitan wabak COVID-19, namun adalah diingatkan kepada semua rakyat dan penduduk negara ini untuk sentiasa peka dalam meningkatkan kesedaran diri terhadap kebersihan.

 

Selain itu, jelasnya lagi, antara pengajaran positif yang dapat dilihat daripada berlakunya pandemik ini ialah dapat meningkatkan institusi kekeluargaan menjadi lebih kukuh dan rapat, di samping dapat memupuk sifat-sifat mahmudah juga taat dan patuh kepada peraturan yang dilaksanakan.




Close