Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan kurniakan daging ibadah korban







BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, pada tahun ini, sekali lagi berkenan untuk melaksanakan Ibadah Korban Sunat baginda berdua berserta kerabat baginda.

 

Daging-daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berserta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha berkenaan akan diagihkan kepada seramai 16,660 penerima di seluruh negara, terdiri daripada beberapa golongan tertentu, iaitu Asnaf Fakir Miskin; Ibu Tunggal; dan Warga Emas.

 

Pengagihan daging-daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda di keempat-empat daerah akan diadakan selama dua hari berturut-turut, iaitu pada Sabtu, 1 Ogos; dan Ahad, 2 Ogos 2020.

 

Seramai 11,484 penerima bagi Daerah Brunei dan Muara; 2,143 penerima bagi Daerah Belait; 2,485 penerima bagi Daerah Tutong; dan 548 penerima bagi Daerah Temburong akan menerima daging-daging Ibadah Korban Sunat berkenaan pada tahun ini.

 

Memandangkan keadaan yang melanda negara pada masa ini dan demi menjaga keselamatan semua pihak daripada penularan wabak COVID-19, pengagihan daging-daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat baginda akan dihantar dan diserahkan terus kepada para penerimanya, di tempat kediaman mereka masing-masing, di keempat-empat daerah.

 

Bagi tujuan tersebut, sebanyak 218 kumpulan, melibatkan seramai lebih daripada 1,200 orang, terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dan sukarelawan daripada kalangan Belia-belia Masjid; Belia Brunei; dan Belia Kampung melalui Majlis Perundingan Kampung terlibat dalam pengagihan berkenaan.

 

Adalah diharapkan kerjasama bersepadu yang dirancang ini akan membuahkan hasil yang diharap-harapkan, khususnya dalam memastikan pengagihan daging-daging Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama kerabat baginda akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur demi menanai amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Kebawah DYMM bagi melihat golongan tertentu di negara ini juga tidak ketinggalan daripada menerima daging-daging ibadah Korban Sunat baginda bersama kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha.




Close