Manage PermissionsManage Permissions

Aidiladha dalam norma baharu



​Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd.Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Ogos. - Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Raya Aidiladha dengan laungan takbir dan tahmid. Sambutan bermula dengan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara.

 

Dalam sama-sama mensyukuri kehadiran Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama dengan ribuan umat Islam di negara ini bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah bagi Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

 

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Awang Haji Besar.

 

Manakala Khutbah Hari Raya Aidiladha dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

 

Dalam Khutbah Pertama Hari Raya Aidiladha, antara lain menyentuh beberapa hikmah di sebalik berlakunya jangkitan wabak COVID-19, antaranya meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan, institusi kekeluargaan menjadi semakin kukuh dan rapat, menyemai sifat 'mahmudah' dan bantu-membantu dalam kalangan masyarakat dan memupuk sifat taat serta patuh kepada peraturan.

 

Manakala dalam Khutbah Kedua menjelaskan, hukum berkorban sunat 'muakkadah' iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan ke atas umat Islam yang hendak mengerjakannya di mana bermula pada 10 Zulhijah iaitu selepas menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijah.

 

Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, menyambut Hari Raya Aidiladha sedikit berbeza dari tahun sebelumnya memandangkan masih ada kekhuatiran mengenai bahaya COVID-19 di mana negara menyambut Hari Raya Aidiladha dengan norma baharu. Namun rakyat dan penduduk di negara ini harus bersyukur kerana dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, negara telah dapat mengawal penularan pandemik COVID-19 dengan berkesan melalui usaha-usaha bersepadu dan doa-doa.

 

Sejurus selepas menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha, Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1441H / 2020M berlangsung di pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

 

Keberangkatan baginda serta kerabat diraja ke pekarangan Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, selaku Penasihat-Penasihat Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha Bagi Tahun 1441H / 2020M.

 

Pada majlis tersebut, seekor kambing disempurnakan penyembelihannya oleh baginda, manakala penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah DYMM serta kerabat baginda yang selebihnya disempurnakan penyembelihannya di Pusat Penyembelihan PDS Abattoir Sdn. Bhd, Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Daerah Tutong dan Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-Anak, Lot G, Lampaki Kampung Mulaut, Daerah Brunei dan Muara.

 

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Pada tahun ini, sebanyak 180 ekor sapi dan 14 ekor kambing dikorbankan dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut telah diagihkan kepada sejumlah 16,660 orang penerima di kalangan asnaf fakir miskin serta tanggungan yang berdaftar di Majlis Ugama Islam Brunei dan kalangan warga emas serta ibu tunggal yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

 

Daging-daging ibadah korban pada tahun ini diagihkan terus ke tempat tinggal penerima oleh Jawatankuasa Majlis dengan bantuan sukarelawan dalam kalangan Belia Masjid; Belia Dakwah; Belia KKBS serta Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung.




Close