Manage PermissionsManage Permissions

Perasmian bekalan pertama bahan api pengangkutan Hengyi



Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Mei. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi) mengadakan Majlis Memotong Reben bagi merasmikan bekalan pertama bahan api pengangkutan (Gasoline, Diesel dan Jet A1) dari Hengyi untuk Brunei Shell Marketing Company Sdn. Bhd. (BSM) sekali gus menandakan permulaan pembekalan produk bahan api bertapis Pulau Muara Besar ke pasaran domestik.

 


Kilang tersebut diharapkan akan dapat mengurangkan ketergantungan Negara Brunei Darussalam pada produk bahan api yang diimport dan juga menghasilkan produk untuk dieksport.

 


Ini juga mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus menjayakan Wawasan Brunei 2035. Ini termasuk melalui pelaksanaan Projek Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam negara. Pembuatan tempatan pelbagai produk bahan api oleh Hengyi, yang merupakan salah satu syarikat FDI yang terbesar di Negara Brunei Darussalam di mana ia menyumbang kepada perkembangan dan kepelbagaian sektor tenaga hiliran negara, sambil menyokong kemandirian negara.

 


Berlangsung di Gantry Yard Pulau Muara Besar, Western Tank Farm, acara tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Tuan Chen Lian Cai dan Pengarah Urusan BSM, Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

 


Perasmian ini adalah sebahagian daripada perjanjian komersial Hengyi dengan Syarikat BSM yang ditandatangani pada 18 September 2019 untuk membekalkan produk bahan api halus kepada BSM untuk pengedaran pasaran domestik. Ia menandakan satu pencapaian baharu bagi industri hiliran di negara ini dengan lanjutan rantaian nilai minyak dan gas domestik.

 


Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar adalah kompleks kilang minyak dan aromatik bertaraf dunia dengan kapasiti penapisan lapan juta tan minyak mentah setiap tahun. Loji Petrokimia mampu menghasilkan 13 jenis produk petroleum.

 


Hengyi akan membekalkan sejumlah 427, 509 tong produk bahan api halus kepada BSM, yang terdiri daripada 190,778 tong Gasoline, 159, 924 tong Diesel dan 76.807 tong bahan api jet untuk memenuhi permintaan petroleum domestik setiap bulan.



Hengyi juga akan memasukkan bahan api Euro V tepat pada waktunya untuk permintaan domestik yang memberikan kualiti tertinggi dan bahan api yang lebih bersih. Bahan api Euro V adalah mesra alam dan memberikan prestasi yang lebih baik kepada kenderaan bermotor.

 


Operasi Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar dan bekalan produk petroleum dalam negara diawasi oleh Kementerian Tenaga untuk memastikan produk berkualiti terus tersedia untuk orang ramai.

 


Loji Penapisan dan Petrokimia Pulau Muara Besar juga membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pekerja dan perniagaan tempatan. Sejak ia mula beroperasi, Hengyi secara langsung telah mengambil pekerja seramai 447 penduduk tempatan dan jumlah ini diharapkan akan meningkat lebih jauh sesuai dengan 'Bruneianisation Directive' Kementerian Tenaga. Beberapa peluang pekerjaan tidak langsung telah dihasilkan melalui pelbagai kontraktor dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk menyokong operasi tersebut.

 


Close