Manage PermissionsManage Permissions

Gelombang kedua : Jumlah jangkitan dijangka meningkat



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar berkata, jumlah jangkitan wabak COVID-19 akan terus meningkat terutama di kalangan mereka yang baru tiba di negara ini.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menekankan mengenai kepentingan bagi mereka yang tiba di negara ini untuk menjalankan pengasingan diri kerana ini merupakan kes-kes gelombang kedua (second wave).

 

Dalam sesi soal jawab bersama pengamal media pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, Yang Berhormat menjelaskan, pihaknya menjangkakan sebilangan daripada mereka yang tiba di negara ini akan disahkan positif COVID-19.

 

Menyentuh mengenai kapasiti hospital, Yang Berhormat berkata, pada ketika ini jumlah katil yang terdapat di Pusat Pengasingan Kebangsaan ialah sebanyak 30 buah katil.

 

Tambahnya, perancangan luar jangkaan (contingency plans) juga akan dibuat sekiranya bilangan kes COVID-19 melebihi jumlah katil yang ada pada masa ini dan perancangan tersebut akan dikongsi bersama dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, menyentuh mengenai Kes 103 pula, Yang Berhormat menjelaskan ia masih lagi dalam penyiasatan yang mana pihak Kementerian Kesihatan masih tidak dapat mengesan sumber jangkitan bagi kes tersebut.

 

Menurutnya, pesakit tersebut masih berada dalam keadaan yang tidak sihat untuk soal siasatan lanjut dan ahli-ahli keluarga pesakit juga telah diminta untuk memberikan maklumat.

 


Close