Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Lima lagi kes baharu disahkan



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. - Sebanyak lima kes baharu didapati dijangkiti COVID-19 di negara ini yang membawa jumlah keseluruhan kepada 109 orang, hari ini.

 

Pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar memaklumkan, Kes 105 ialah seorang lelaki tempatan berumur 17 tahun yang mempunyai kaitan dengan kluster keluarga yang telah melancong ke Surabaya, Indonesia dan telah pulang ke negara ini pada 20 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI796.

 

Kes 106 pula menurut Yang Berhormat, berumur 23 tahun iaitu seorang warga tempatan yang telah pulang ke negara ini dari United Kingdom pada 23 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI004 (tempat duduk 39B) dan mula mengalami sakit kepala pada 24 Mac 2020.

 

Manakala Kes 107 jelasnya, ialah seorang lelaki pekerja asing berumur 51 tahun yang bekerja di Negara Brunei Darussalam dan pulang ke negara ini dari Surabaya, Indonesia pada 20 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI796 (tempat duduk 29B).

 

Walau bagaimanapun tambahnya, kes ini bukan dalam rombongan yang sama dengan Kes 91, 93, 96, 97, 98, 99, 100, 102, 104 dan 105.

 

Yang Berhormat seterusnya menyentuh mengenai Kes 108 berumur 72 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101 dan 109 yang mana Kes 108 telah pulang dari United Kingdom bersama Kes 73 pada 16 Mac 2020 dan ujian makmal beliau pada awalnya adalah negatif dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

 

Sementara Kes 109 jelasnya, berumur 33 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101 dan 108 yang mana Kes 109 tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula mengalami demam panas dan selesema pada 23 Mac 2020.

 

"Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa daripada 107 kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, seorang masih dalam keadaan kritikal dan pada masa ini memerlukan mesin bantuan pernafasan dan alat bantuan tambahan iaitu 'heart/lung machine' (ECMO). Sementara itu, tiga orang dalam pemantauan rapi manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

 

Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa pada ketika ini seramai 1,211 orang sedang menjalani kuarantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 655 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik. Sejak awal Januari 2020, sebanyak 4,084 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan," terangnya lagi.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 pada bila-bila masa.

 


Close