Manage PermissionsManage Permissions

SMARTER Brunei, YASKA terima sumbangan



​Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Februari. - Persatuan SMARTER Brunei dan Yayasan Kanak-Kanak Kanser (YASKA) masing-masing menerima sumbangan berjumlah BND2,000 hasil daripada jualan gambar-gambar yang dipamerkan pada Pameran Kesedaran Pencemaran Lautan (Marine Awareness Pollution Exhibition) pada 1 hingga 8 Februari lalu.

 


Gambar-gambar pada pameran yang diadakan di Kedutaan Republik Turki di Negara Brunei Darussalam tersebut merupakan hasil kreativiti seorang penyelam yang diiktiraf secara komersial iaitu Cecilia Lee.

 


Penyerahan cek disampaikan oleh Cecilia Lee kepada Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang pada majlis penyerahan di Ibu Pejabat pertubuhan berkenaan, di Kampung Mata-Mata, di sini.

 


Beliau kemudian menyerahkan cek sumbangan kepada Naib Pengerusi YASKA, Tsara' Nawwarah binti Abdullah Chen yang berlangsung di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini.

 


Hadir pada majlis penyerahan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun.

 


Tuan Yang Terutama turut menyerahkan sumbangan berbentuk buku-buku kepada YASKA.

 


Cecilia ketika ditemui berkata, beliau telah melakukan aktiviti penyelaman sejak tahun 1991, di mana sepanjang 29 tahun itu beliau telah banyak menangkap gambar-gambar bawah lautan.

 


"Di samping mengumpul dana dari jualan foto-foto tersebut, kami juga ingin meningkatkan kesedaran kepada kanak-kanak dan orang ramai supaya tidak mencemarkan lautan kerana lautan yang tercemar akan menjejaskan kesejahteraan manusia. Oleh itu, adalah penting bagi kita menjaga kebersihan pantai," kata pemilik Angeline Beauty and Fitnesses ini.

 

 


Close