Manage PermissionsManage Permissions

Memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 




BERAKAS, Khamis, 13 Februari. - Bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar para pengguna jalan raya sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) petang tadi mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Sembahyang Sunat Hajat dan Fardu Asar Berjemaah di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas, di sini.

 


Di samping itu, acara tersebut juga diselajurkan dengan bacaan doa khas untuk memohon perlindungan kepada Allah agar rakyat dan penduduk di negara ini terhindar dari segala wabak penyakit dan bala bencana.


 

Hadir ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi MKKJR.  

 


Juga hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku Timbalan Pengerusi MKKJR; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi & Korporat), MTIC, Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), MTIC, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abd. Razak serta ahli-ahli MKKJR; Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan MTIC serta agensi-agensi yang berkepentingan.


 

Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa, di samping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.

 


Para pemandu juga diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 


Close