Manage PermissionsManage Permissions

Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Sabtu ini



Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. – Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan di bawahnya akan diadakan selama dua hari pada 18 dan 19 Januari ini bermula jam 10 pagi hingga 8 malam bertempat di Atrium, The Mall, Gadong.

 


Hari Terbuka ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan di bawahnya berhubung dengan inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dijalankan di samping mengenali dengan lebih terperinci akan peranan dan perkhidmatan yang diberikan.

 


Antara aktiviti-aktiviti menarik yang akan diadakan di sepanjang acara itu nanti ialah pameran dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya iaitu Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Belait, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

 


Seterusnya, pelancaran laman sesawang bagi Satu Kampung Satu Produk (1K1P), menyediakan perkhidmatan permohonan dokumen perjalanan iaitu ruang bagi orang ramai untuk mendaftar dan memperbaharui pasport, tawaran bagi Lesen Agensi Pekerjaan (kategori C), Jualan produk hasil Satu Kampung Satu Produk, jualan produk-produk rakan seliaan dan demonstrasi menyelamat mangsa kebakaran.


 

Selain itu, Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri turut dimeriahkan dengan demonstrasi cara sebatan sivil dan syariah, pertandingan kuiz kepada orang ramai dan aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

 


Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai fungsi, peranan, perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan di bawahnya adalah dialu-alukan untuk hadir dan sama-sama memeriahkan aktiviti.

 


Close