Manage PermissionsManage Permissions

Penyertaan Pidato Bahasa Jepun dibukakan



Siaran Akhbar : Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. - Bahagian Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Pusat Bahasa di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, serta kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum, Kementerian Pendidikan akan menganjurkan Pertandingan Pidato Bahasa Jepun kali ke-33.

 


Pertandingan  tersebut  akan diadakan pada hari Rabu, 11 Mac 2020, jam 1.00 petang di Dewan Kuliah, The Core, Universiti Brunei Darussalam. Penyertaan sudah mula dibukakan kepada mereka yang berminat bagi menguji kemahiran serta kefasihan menyampaikan pidato dalam Bahasa Jepun.

 


Pertandingan itu dihasratkan untuk menggalakkan para peserta untuk menunjukkan kemahiran serta kefasihan berbahasa Jepun selain diharap akan meningkatkan lagi persefahaman di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun khususnya dalam mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara penduduk kedua buah negara.

 


Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Peringkat Permulaan dan Peringkat Lanjutan di mana Peringkat Permulaan adalah bagi peserta yang mempelajari Bahasa Jepun kurang dari dua tahun. Manakala Peringkat Lanjutan bagi peserta yang tidak menetap di Jepun lebih dari dua tahun sejak berusia enam tahun.

 


Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, para peserta adalah bebas untuk memilih tajuk dan isi kandungan pidato mereka tetapi mereka harus menghindari daripada memilih bahan-bahan yang menyentuh politik, agama dan isu-isu kontroversial.

 


Sebagai tambahan kepada kategori pidato secara individu, berkumpulan, tawaran turut dibukakan kepada pelajar dari sekolah menengah, sekolah pusat tingkatan enam dan IBTE. Pendaftaran untuk kategori kumpulan adalah melalui Jabatan Ko-Kurikulum dengan menghantar e-mel kepada hajidah.wahab@moe.gov.bn

 


Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan, awda boleh imbas kod QR di laman Facebook Kedutaan atau Instagram, atau melalui e-mel, brunei.jsc@gmail.com untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Tarikh tutup permohonan adalah pada hari Ahad, 9 Februari 2020.

 


Close