Manage PermissionsManage Permissions

Lao PDR laksanakan Open-Door Policy



​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 




JERUDONG, Rabu, 15 Januari. - Forum Pelancongan ASEAN (ATF) adalah merupakan usaha serantau untuk mempromosikan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai satu destinasi pelancongan.

 


Antara acara yang mengambil tempat bersempena penganjuran forum tersebut ialah ASEAN NTO Media Briefing - Ministry of Information, Culture and Tourism, Lao PDR yang diadakan di Bilik Sindiket 2, Pusat Persidangan BRIDEX, di sini.

 


Timbalan Pengarah Bahagian Aktiviti Pemasaran Pelancongan, Kementerian Informasi, Kebudayaan dan Pelancongan, Lao PDR, Mrs. Sengsoda Vanthanouvong antara lain mengetengahkan mengenai Dasar Pelancongan, Tempat Pemeriksaan Sempadan Antarabangsa, Statistik, Destinasi Pelancongan Utama, Perayaan, Tahun Pelancongan Lao PDR - China 2019 semasa taklimat tersebut.

 


Menyentuh mengenai Dasar Pelancongan, beliau mengongsikan beberapa perkara antaranya melaksanakan 'Open-Door Policy', bila mana pelancongan adalah merupakan salah satu sektor keutamaan dalam undang-undang bagi membangun dan mempromosikan pelancongan alam semula jadi, budaya dan sejarah.

 


Melalui Dasar Pelancongan ini juga, tambahnya dapat mempromosi pelancongan dan industri pelancongan, dengan menyediakan peluang pekerjaan dan mewujudkan peluang bagi masyarakat etnik untuk menjana pendapatan yang lebih baik.


 

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan persahabatan dan kerjasama yang baik dengan semua negara termasuk negara ASEAN dan Eropah, dan melaksanakan strategi ekopelancongan dan pelancongan berasaskan masyarakat untuk mengurangkan kemiskinan.

 


Menurut Mrs. Sengsoda Vanthanouvong lagi, antara peranan dan tanggungjawab utamanya pula ialah membangunkan strategi pelancongan negara; menubuhkan dasar, undang-undang dan peraturan; menjalankan aktiviti pemasaran; menggalakkan pembangunan sumber manusia; dan memperkukuhkan pembangunan kapasiti.


 

Sistem perhubungan juga boleh diakses sama ada melalui udara, darat dan laut, yang mana terdapat empat lapangan terbang antarabangsa iaitu Wattay International Airport (pintu masuk utama melalui udara untuk pelancong antarabangsa); Luang Prabang International Airport (Penerbangan tetap dari Luang prabang ke Vientiane, Chiang Mai, Hanoi, Jinghong, Chengdu, Siap Reap, Singapura dan Incheon); Savannakhet International Airport (satu-satunya penerbangan antarabangsa di laluan ini adalah dari Savannakhet ke Bangkok dan sebaliknya yang dikendalikan oleh Lao Airlines) dan Pakse International Airport (adalah titik persinggahan dari Vientiane ke Phnom Penh, Siem Reap, Ho Chi Minh dan Bangkok).

 


Selain itu melalui darat, Lao PDR boleh dilalui dari Thailand, China, Viet Nam dan Kemboja menerusi beberapa jambatan persahabatan; wilayah seperti Boten dan Lantoui (jika melalui dari China; wilayah Nam Kanh, Xeingkhuang , Nam Phao, Dane savnh dan sebagainya (jika melalui dari Viet Nam); dan wilayah NongNokkhian, Champasack (jika melalui dari Kemboja).

 


Tambahnya lagi, antara daya penarik pelancong berkunjung ke Lao PDR adalah majoritinya yang berminat dengan alam semula jadi, gaya hidup tradisi, makanan, aktiviti kebudayaan dan kuil dan monumen.

 


Selain itu, beliau turut mengongsikan beberapa destinasi pelancongan utama sebagai Warisan Dunia yang sering menjadi tumpuan para pelancong ialah antaranya Luang Phrabang; Wat Phou Champasack; Plain of Jars, Xiengkhouang; Vang Vieng; Khammouane Province; dan Champasak Province.

 


Di samping itu, beberapa Festival kebudayaan juga turut mengambil tempat sebagai acara tahunan mereka antaranya seperti Hmong New Year; Elephant Festival; Rocket Festival; Boat Racing Festival; That Luang Festival dan That Ing Hang Festival.

 


Close