Manage PermissionsManage Permissions

Thailand tampilkan perjalanan gastronomi



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Md Sahrizal Hj Md Said

 




JERUDONG, Rabu, 15 Januari. - Thailand pada tahun 2019 telah berjaya memeterai beberapa perjanjian bagi mengukuhkan integrasi ASEAN dalam pelbagai sektor bermula daripada pendidikan, kesihatan hinggalah ke pelancongan dan kewangan.

 


Pengarah Eksekutif ASEAN, Asia Selatan dan Wilayah Pasifik Selatan, Mr. Klissada Ratanapruk menyatakan mengenai perkara itu dalam sesi ASEAN NTO Media Briefing : Tourism Authority of Thailand yang diadakan di Bilik Sindiket 2, Pusat Persidangan BRIDEX, di sini sempena berlangsungnya ASEAN Tourism Forum Travel Exchange (ATF TRAVEX) 2020.


 

Dengan bertemakan 'Gastronomy Tourism Thailand', pameran mengetengahkan perjalanan gastronomi dari 'Street-food' ke restoran Bintang Michelin, yang berfokus pada makanan Thai tempatan dan juga destinasi pelancongan di Thailand.

 


Menurut Mr. Klissada Ratanapruk lagi, sebanyak tujuh peserta menyertai pameran ATF 2020 yang terdiri daripada MIDA Hospitality Group; Katathani Collection of Resorts (Marriott - Bangkok - Hua Hin - Phuket, Movenpick BDMS Wellness Resort Bangkok); Novotel Phuket Vintage Park; Movenpick Myth Hotel Patong; Phuket Graceland Resort and Spa; dan Siam Kempinski Hotel Bangkok.

 


Menyentuh mengenai perkembangan semasa pelancongan di Thailand, beliau menambah bahawa tahun lepas mencatatkan jumlah paling tinggi ketibaan iaitu 39 juta, dan antara jumlah tersebut, negara-negara ASEAN telah menjana lebih 10 juta ketibaan ke Thailand.


 

Pada tahun 2020, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) telah menetapkan sasaran pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus dalam ketibaan selain turut memprojeksikan peningkatan ketibaan 4 peratus dari pasaran ASEAN.

 


"Saya gembira untuk mengatakan bahawa Brunei adalah salah satu pasaran jarak jauh yang penting kepada Thailand, di mana 70 peratus pengunjung Brunei adalah pengembara yang mengulangi perjalanan mereka ke Thailand, dan aktiviti utama mereka lebih kepada menikmati makanan Thai, urut dan spa, dan melawat komuniti tempatan," katanya.

 


Tambahnya lagi, tahun lepas Thailand telah membangunkan Pelan Induk Pelancongan ASEAN sebagai salah satu objektif pengerusi utama, dan tidak lama lagi akan dijadikan sebagai pelan awam yang akan menyaksikan penubuhan rangkaian pakar yang berkaitan dengan bandar raya pelancongan gastronomi, dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk memberi lebih banyak kemasyhuran global kepada gastronomi ASEAN.

 


Ini jelasnya, akan menjadi matlamat untuk mencapai integrasi ASEAN bagi mewujudkan pekerjaan dan memastikan pengagihan pendapatan yang adil dalam kalangan masyarakat luar bandar dan pertanian ASEAN serta mewujudkan pasaran baharu untuk produk ladang.

 


Untuk mengetengahkan pelbagai pelancongan gastronomi negara, pada tahun 2017, TAT bekerjasama dengan Michelin yang berpangkalan di Perancis yang terkenal di dunia untuk menilai penarafan bintang di restoran-restoran, sehingga melalui perkongsian tersebut telah menghasilkan Michelin Guide Bangkok yang pertama.

 


Menurut beliau, tahun 2020 akan menjadi tahun yang sangat penting bagi Thailand kerana ia menandakan ulang tahun ke-60 penubuhan rasmi Industri Pelancongan Thailand.

 


Oleh demikian, TAT akan mengetengahkan pencapaian bersejarah industri pelancongan negara tersebut sebagai peluang untuk menilai kembali serta meninjau keperluan untuk masa depan bagi memperbaharui cadangan nilai dan memperluaskan rangkaian tawaran produk mereka, terutamanya yang ada dalam barisan dengan 'New Shades of Responsible Tourism'.

 


"Penekanan mesej penting amat perlu untuk menekankan pentingnya pelancongan yang bertanggungjawab dan menjadi tuan rumah yang baik di bawah tema 'Next Steps towards a Sustainable Thailand'," jelas beliau.


 

Kerajaan juga memberi perhatian lebih besar untuk memperluaskan infrastruktur pengangkutan bandar seperti BTS Sky Train dan sistem kereta bawah tanah MRT yang merangkumi kawasan Bangkok dan kawasan di luar bandar.

 


Pembinaan lapan projek MRT akan dibuka secara beransur-ansur setiap tahun dan dijangka siap pada tahun 2025, selain itu, perkembangan sistem perhubungan juga akan turut ditingkatkan lagi sama ada melalui udara, darat dan laut.

 


Seperti baru-baru ini jelasnya, majlis menandatangani Public-Private Partnership Agreement of the High-speed Rail yang menghubungkan Tiga Projek Lapangan Terbang telah ditetapkan dan projek tersebut dijangka akan meningkatkan perjalanan di seluruh negara dengan menyediakan pautan yang lebih mudah.

 


Dalam pada itu, Mr. Klissada Ratanapruk percaya bahawa tema 'ASEAN : Together towards a Next Generation of Travel' sangat sesuai ketika kita hampir memasuki abad ketiga, di mana dunia berubah dengan pesat dan begitu juga industri pelancongan.

 


Di samping itu, tambahnya, negara-negara ASEAN juga mempunyai semua aset pelancongan yang diperlukan untuk melayari gelombang perubahan dan mengekalkan bahagian pasaran mereka untuk generasi yang akan datang.

 


Close