Manage PermissionsManage Permissions

Program Latihan Digital untuk warga emas



Siaran Akhbar dan Foto : Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI)

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. – Pihak berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) meneruskan lagi Program Latihan Digital bagi warga emas di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di Daerah Tutong dari 13 hingga 15 Januari 2020. Program tersebut bertujuan untuk membantu warga emas agar celik digital supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi yang ditawarkan.

 


Program ini telah disertai seramai 21 orang warga emas dari Pusat Kegiatan Warga Emas dari Daerah Tutong. Program selama tiga hari itu diselenggarakan dengan kerjasama dari sektor kerajaan dan swasta serta demonstrasi praktikal yang disampaikan oleh jurulatih dan fasilitator termasuk dari Jabatan Kurikulum, Kementerian Pendidikan; IT Protective Services Sdn Bhd (ITPSS) dan wakil dari syarikat e-dagang tempatan seperti Naindah.com, Rotuku.com dan Weelago.com.

 


Program tersebut turut mengetengahkan pelbagai topik termasuk kemahiran asas ICT, keselamatan dalam talian, pengenalan kepada e-Commerce, aplikasi mudah alih yang berguna, membeli-belah dalam talian serta transaksi dalam talian.

 


Program Latihan Digital ini diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil  yang disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku Penghulu Mukim Telisai dan Pemangku Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.

 


Program Latihan Digital untuk warga emas mula diperkenalkan pada bulan Oktober 2019 di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Daerah Brunei-Muara. Setakat ini, lebih daripada 80 warga emas telah menyertai program ini. AITI turut merancang untuk mengadakan program tersebut di Pusat Kegiatan Warga Emas di Kuala Belait dan Temburong.

 


Dengan maklum balas yang positif, ia diharap bukan sahaja akan memberi kesedaran kepada warga emas tentang pentingnya celik digital tetapi juga untuk digunakan dalam kehidupan seharian mereka. AITI tetap komited dalam usahanya untuk membina masyarakat digital yang inklusif.

 


AITI juga berharap komuniti warga emas dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dan menjadi sebahagian daripada rakyat bertulis secara digital dan tidak ketinggalan dengan perkembangan dunia.

 


Close