Manage PermissionsManage Permissions

Bersalah atas tuduhan pembersihan wang haram



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. - Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin (Tertuduh Kedua) menghadapi lapan tuduhan pembersihan wang haram kerana menggunakan wang hasil pecah amanah yang dilakukan oleh isterinya, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman (Tertuduh Pertama).

 


Sepanjang perbicaraan, Tertuduh Kedua percaya apabila diberitahu oleh isterinya bahawa wang kepunyaannya itu telah diperoleh daripada seorang warganegara Malaysia dan arwah abangnya.

 


Walaupun Yang Arif Hakim boleh menerima fakta bahawa arwah abang Tertuduh Pertama mungkin telah memberikannya wang namun tidak ada bukti yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan bahawa pemberian tersebut adalah dalam jumlah yang besar.


 

Sebagai seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya dan juga seorang hakim kes-kes jenayah, Tertuduh Kedua seharusnya tahu tentang isu pembersihan wang haram ini.

 


Tertuduh Kedua merupakan seorang hakim kes jenayah yang berpendidikan dan pintar dengan gaji kira-kira BND4,800. Beliau seharusnya sedar bahawa mereka menjalani hidup yang jauh lebih mewah daripada pendapatan mereka dan hal ini sepatutnya menimbulkan pertanyaan pada dirinya.


 

Yang Arif Hakim tidak meragui bahawa Tertuduh Kedua sememangnya tahu sumber wang yang digunakannya adalah dari wang-wang penghutang penghakiman bagi kes-kes di bawah kawalan isterinya itu.

 


Oleh yang demikian, Tertuduh Kedua telah disabitkan bersalah ke atas enam tuduhan pembersihan wang haram. Beliau didapati tidak bersalah atas dua kesalahan memasukkan nota-nota wang tunai BND10,000 ke dalam akaun bersamanya dengan Tertuduh Pertama kerana saksi-saksi dari Bank tidak pasti siapa daripada kedua-dua Tertuduh yang datang untuk memasukkan wang tersebut pada masa itu.

 


Kes ini akan didengar lagi pada Sabtu, 18 Januari 2020 pukul 9.30 pagi.

 


Sementara itu, Tertuduh-tertuduh telah memohon untuk terus dibebaskan dengan ikat jamin tetapi permohonan itu telah dibantah oleh pihak Pendakwa Raya.

 


Yang Arif Hakim Lugar-Mawson menolak permohonan itu dan memerintahkan supaya kedua-dua Tertuduh ditahan reman di penjara.

 


Pihak Pendakwa Raya diketuai oleh Jonathan Caplan QC bersama dengan Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suhana Haji Sudin, Hajah Suriana Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Haji Abdul Latiff dan Muhammad Qamarul Affyian Abdul Rahman sementara Sheikh Noordin Sheikh Mohammad juga hadir untuk Tertuduh-tertuduh.

 


Close