Manage PermissionsManage Permissions

Teknologi digital pasarkan produk pelancongan



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. – Kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi permintaan dan perubahan dalam industri pengembaraan dan pelancongan. ASEAN perlu bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan dan komuniti perniagaan dalam sektor pelancongan untuk menerima pelbagai teknologi dalam memenuhi jangkaan pelancong.

 


Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong semasa Forum Pelancongan ASEAN 2020 (ATF 2020) pada tahun ini yang membawa tema, 'ASEAN – Together Towards A Next Generation of Travel'.

 


"Sokongan digital telah menyediakan industri pengembaraan dan pelancongan platform yang bernilai dan membolehkan aksesibiliti, visibiliti maklumat dengan lebih baik, mengukuhkan strategi pemasaran dan promosi produk-produk pelancongan serta lain-lain. Malah ia menyediakan para pelancong dengan cadangan, ulasan, pengalaman ataupun perbandingan bagi mereka untuk membuat pilihan dan keputusan yang berpengetahuan," tambah Yang Berhormat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN ke-23 yang berlangsung di The Empire Brunei, di sini.

 


Oleh yang demikian, Yang Berhormat menegaskan bahawa kemajuan sedemikian menuntut pemilik perniagaan yang berkaitan pengembaraan dan pelancongan untuk melabur dalam digital kerana ia bukan lagi hanya sekadar untuk dilihat sebagai 'Online' malah ia dianggap lebih kompetitif untuk menarik lagi lebih ramai generasi pengembara di masa yang akan datang.

 


Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN untuk membincangkan mengenai inisiatif pelancongan dan bagaimana ASEAN boleh menyediakan pengalaman yang lebih terperinci dan bermakna di rantau ini.


 

Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta dihadiri oleh Menteri-Menteri Pelancongan dari negara anggota ASEAN.

 


Mesyuarat merupakan sebagai sebahagian daripada siri acara di bawah rangka Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2020. Mesyuarat antara lain bertujuan untuk membincangkan kemajuan pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025;  Pelaksanaan Strategi Pemasaran Pelancongan ASEAN 2017-2020; Piawaian Pelancongan ASEAN dan Forum Pelancongan ASEAN 2021.


 

Mesyuarat ini juga akan mengkaji semula prestasi pelancongan ASEAN 2018 dan 2019 serta membincangkan kerjasama dengan badan-badan ASEAN lain, rakan-rakan dialog iaitu Plus Three dan India. ATF 2020 diadakan selama seminggu yang merangkumi Travel Exchange (TRAVEX) selama tiga hari bermula 14 Januari 2020.

 


Lebih 1,000 pegawai pelancongan dan peserta pameran menyertai mesyuarat dan aktiviti sosial, termasuk wakil media antarabangsa dan tempatan.

 


Mesyuarat ini akan disusuli dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Plus ke-19 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN-India ke-8 yang diadakan pada 16 Januari 2020 bertempat di The Empire Brunei, Jerudong.

 


Close