Manage PermissionsManage Permissions

352 sertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya



​Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Januari. - Seramai 352 peserta telah mendaftar untuk mengikuti Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah pada tahun ini dalam lima kategori seperti tahun-tahun sebelumnya (Kategori 'A', 'B', 'C', 'D' dan 'E').

 


Musabaqah Peringkat Saringan pada tahun ini dijalankan secara tertutup di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS Blok 2H Tingkat 8, Kondominium Ong Sum Ping selama lapan hari bermula hari ini.

 


Kategori 'A' disertai seramai 141 peserta yang terbuka kepada mereka yang berumur 13 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Mei 2007 dan selepasnya; tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'A' sebanyak dua kali berturut-turut dan bukan terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negeri semasa mendaftar / menghantar borang permohonan.

 


Peserta hendaklah menghafaz Surah-Surah Pilihan dari Juz 30, iaitu Surah Al-Muthaffiffiin, Surah Al-Insyiqaq, Surah Al-Buruj, Surah At-Taariq, Surah Al-A'laa, Surah Al-Ghaasyhiyah, Surah Al-Fajr, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-Lail dan Kompilasi Surah-surah Lazim bermula dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas berserta pemahaman Surah An-Naba', Surah An-Nazi'at, Surah 'Abasa, Surah At-Takwir, Surah Al-Infithar.

 


Manakala 24 penyertaan diterima bagi Kategori 'B' Terbuka Kepada Murid-Murid Berumur 14 Tahun Ke Atas dan Tidak menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 10, 20 dan 30 juz empat kali berturut-turut secara kebelakangan dari tarikh tutup penyertaan, tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'B' sebanyak dua kali berturut-turut (1439H / 2018M dan 1440H / 2019M) serta bukan terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negeri semasa mendaftar / menghantar borang permohonan.

 


Para peserta hendaklah menghafaz Surah-Surah Pilihan iaitu Surah Al-Kahfi, Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al- Waqi'ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Insaan, Surah Yaasiin, Surah Jiin berserta pemahaman Surah Al-Jumu'ah dan Surah An-Nur.

 


Sejumlah 131 penyertaan pula bertanding dalam Kategori 'C' yang terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam Dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juz serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'C' sebanyak dua kali berturut-turut.

 


Para peserta kategori itu dikehendaki menghafaz tiga Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Surah An-Nisa.

 


Sementara bagi Kategori 'D' pula disertai oleh 42 peserta yang terbuka kepada semua peringkat umur, tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 30 Juz serta tidak menjadi johan dalam Kategori 'D' sebanyak dua kali berturut-turut.

 


Mereka akan menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Surah Maryam dan Surah Thaha.

 


Sementara bagi Kategori 'E' dibukakan kepada semua peringkat umur; dan tidak pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam Kategori Menghafaz 30 Juz, dan hanya boleh menyertai musabaqah semula, iaitu selepas dua tahun menjadi johan.

 


14 peserta kategori itu dikehendaki menghafaz 30 Juz Al-Quran, iaitu dari Juz 1 hingga Juz 30 berserta Pemahaman Surah Asy-Syura, Surah Az-Zukhruf, Surah Ad-Dukhan, Surah Al-Jatsiah.

 


Seperti lazimnya Musabaqah ini akan diadakan dalam tiga peringkat iaitu pusingan Saringan, Separuh Akhir dan seterusnya Peringkat Akhir Kebangsaan.

 


Seramai 12 peserta akan dipilih bagi setiap kategori yang mempunyai markah 65 peratus ke atas untuk masuk ke Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan.

 


Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan Hari-hari Kebesaran Islam dan ia merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.


Close