Manage PermissionsManage Permissions

Promosi tempat menarik negara



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

 

 




JERUDONG, Selasa, 14 Januari. - Forum Pelancongan ASEAN (ASEAN Tourism Festival - ATF) merupakan usaha serantau untuk mempromosikan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai satu destinasi pelancongan.

 


Sehubungan itu, diadakan dua acara berasingan ASEAN National Tourism Organisation (NTO) Media Briefing, di Bilik Sindiket 2, Pusat Persidangan BRIDEX, di sini.

 


Terdahulu, Taklimat Media mengenai Pelancongan Brunei mengambil tempat, disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Dayang Salina binti Salleh.

 


Beliau, antara lain menjelaskan pada tahun 2019, bilangan ketibaan pelancong melalui udara ke Negara Brunei Darussalam meningkat pada 16.0 peratus (tahun ke tahun), di mana antara faktor yang menyumbang adalah impak yang tinggi daripada permintaan perjalanan dari Pasaran Timur Jauh seperti China, Hong Kong, Jepun, dan Korea Selatan.


 

Selain itu, turut dikongsi sama statistik ketibaan pelancong melalui udara dari sepuluh negara teratas pada tahun 2019, terdiri dari negara Malaysia (+30.8 peratus); China (+8.2 peratus); Indonesia (+10.8 peratus); Filipina (+10.4%); South Korea (+96.4 peratus); United Kingdom (+15.7 peratus); Singapura (-1.6 peratus); Jepun (+74.3 peratus); India (+9.4 peratus); dan Australia (+9.6 peratus).

 


Di samping itu, beliau juga turut mengongsikan taklimat kemas kini mengenai Pelancongan Brunei kepada seramai 36 media antarabangsa mengenai Peningkatan Kesalinghubungan; fokus pasaran yang melibatkan Ekopelancongan, Berasaskan Masyarakat, Islam, Pendidikan, serta Sukan dan Pengembaraan; Pengembangan Media Sosial; Brunei - China Year of Tourism 2020; dan Pembangunan Utama di negara ini.

 


Di sepanjang acara ini berlangsung, para media antarabangsa turut dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di negara ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan pelancongan di negara ini, antaranya dengan mengadakan Lawatan Tinjauan ke Kampong Ayer; Temburong National Park Day Trip; Back to Nature - Day Trip to Tutong; dan Labi Nature Tour - Day Trip to Labi.

 


Seterusnya, Penasihat dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Pelancongan dan Kerjasama Antarabangsa, Tuan Yang Terutama Hoy Phireak turut menyampaikan taklimat kemas kini mengenai Pelancongan di Kemboja - Potensi dan Perkembangan Semasa & Pemasaran.

 


Beliau, antara lain mengetengahkan mengenai perancangan bagi Pelan Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang baharu; Pembangunan dan Pusat Membeli-belah Phnom Penh; Statistik Pelancongan; Aktiviti promosi digital dan bahan promosi; Strategi pemasaran pelancongan; Sektor Gastronomy di Kemboja; dan ATF 2021 di Phnom Penh.


Close