Manage PermissionsManage Permissions

Bantuan dihulur, kesejahteraan di utama



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 




 

BERAKAS, Selasa, 14 Januari. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama, berlangsung di Bilik Mesyuarat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (DBM), di sini.

 


Hadir, seterusnya mempengerusikan mesyuarat tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.

 


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam ucapannya selaku Penasihat Bersama menjelaskan, Penubuhan Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama tersebut adalah berikutan dengan kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 Januari 2020, di mana meranapkan 12 buah rumah dan merosakkan empat buah rumah di Kampung Pengiran Bendahara Lama.

 


Yang Berhormat Menteri seterusnya menjelaskan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) memberikan penempatan sementara bagi mangsa kebakaran yang rumah mereka ranap semasa kejadian tersebut di Pusat Penempatan Sementara Sungai Akar.

 


Pihak JAPEM juga memberikan bantuan kewangan kerajaan kepada mangsa-mangsa kebakaran pada 13 Januari 2020 dan pihak Jabatan DBM turut memulakan pembaikan jambatan utama, mulai 13 Januari 2020, jelas Yang Berhormat lagi.

 


Yang Berhormat Menteri seterusnya turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat kerana dapat mengawal kebakaran tersebut dalam masa 1 jam 10 minit, juga Pasukan Polis Diraja Brunei, Pemangku Ketua Kampung Pengiran Bendahara Lama dan semua penduduk kampung yang memberikan bantuan dalam mengawal kejadian tersebut.

 


"Saya dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan di atas tindakan segera kementerian-kementerian dan agensi-agensi tertentu, iaitu JAPEM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, khususnya Majlis Ugama Islam Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) atas sikap prihatin dan simpati juga sumbangan yang dihulurkan kepada mereka yang terlibat di dalam kebakaran ini," tambah Yang Berhormat lagi.

 


Juga hadir, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.

 


Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan YSHHB, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak; serta Pegawai-pegawai Daerah, Pemangku Pegawai Daerah, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, agensi-agensi yang berkenaan dan pihak swasta.

 


Close