Manage PermissionsManage Permissions

Kemaslahatan Jemaah Haji keutamaan Jabatan Urusan Haji



​Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Januari. - Kemaslahatan kesejahteraan para jemaah haji menjadi keutamaan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji termasuk meneliti pelbagai sudut dalam kepentingan dan kebajikan para jemaah termasuk usaha-usaha dalam aspek peningkatan kuota yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi dari sebanyak 400 kuota sejak dari tahun 2012.

 


Atas ihsan dan kemurahan hati pihak Kerajaan Arab Saudi, peningkatan jumlah kuota diperuntukkan menjadi sebanyak 1,000 kuota sejak dari tahun 2017 sehingga sekarang.

 


Pemangku Pengarah Urusan Haji, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad semasa ditemu bual di Bangunan Tambahan KHEU turut menjelaskan, jumlah pendaftaran untuk menjadi jemaah haji juga begitu menggalakkan dan semakin meningkat dari setahun ke setahun dan baki jumlah senarai menunggu sebelum pendaftaran bagi tahun ini adalah sebanyak 4,177 orang.

 


Memandangkan jumlah kuota yang diberikan begitu terhad, mereka yang sudah mendaftar itu dimasukkan dalam senarai menunggu, yang kemudiannya dipilih berdasarkan senarai urutan pendaftaran.


 

Sementara itu, jumlah baki tersebut belum lagi termasuk bagi pendaftaran haji tahun 1441H, pihaknya setakat 2 Januari tahun ini sudah menerima seramai 2,011 orang dan dijangka akan meningkat sebelum tarikh ditutup pada 1 Februari ini nanti dan dari itu, secara keseluruhannya, lebih 6,000 dalam senarai menunggu.

 


Pihak jabatan menyarankan agar pemohon mendaftar sekali dalam satu kumpulan keluarga kerana apabila terpilih nanti, mereka disatukan dalam satu kumpulan.

 


Walau bagaimanapun, tertakluk kepada pemohon kerana apabila terpilih nanti, adalah sukar untuk menambah bilangan ahli keluarga lebih-lebih lagi kuota sudah dipenuhi oleh bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun berkenaan.

 


Awang Haji Abdullah seterusnya menerangkan, jumlah baki dalam senarai menunggu tersebut dijangka akan dapat menunaikan ibadah haji pada tahun 2021 - 2025 sementara, pemohon yang mendaftar haji pada tahun ini dijangka akan dapat menunaikan ibadah Haji pada tahun 2026 sehingga seterusnya.

 


Tahun jangkaan bagi jumlah berkenaan ialah dalam sekitar lima ke enam tahun kadar nisbah menunggu namun tempoh berkenaan masih rendah berbanding negara-negara lain yang lama menunggu untuk menunaikan Fardu Haji.

 


Walau bagaimanapun tambahnya, jangkaan tersebut akan berubah sekiranya berlaku sebarang perubahan kepada jumlah kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi dan jika terdapat kekosongan kuota yang sedia ada.

 


Selain itu juga, Jabatan Urusan Haji juga akan sentiasa berusaha ke arah mempertingkatkan dan memperbaiki lagi perkhidmatan demi hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan para Jemaah Haji melalui 'post-mortem' yang dijalankan dengan Kerajaan Arab Saudi dan beberapa agensi yang berkaitan.

 


Close