Manage PermissionsManage Permissions

Persediaan skuad bola jaring negara ke Sukan SEA Ke-30



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim \ Foto : Masri Osman, Azmah Haji Ahad

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat bagi menyaksikan Perlawanan Persembahan (Exhibition Match) Bola Jaring antara Pasukan Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Royal Bees dengan NETFIT All Stars, 2019 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

 


Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Ketua Pasukan Royal Bees berkenan berangkat menyertai perlawanan tersebut.

 


Sebelum perlawanan, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan dan seterusnya YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung untuk disembahkenalkan dengan pasukan Royal Bees dan juga pasukan NETFIT All Stars dari Australia.

 


Pada Perlawanan Persembahan itu, NETFIT All Stars berjaya memenangi perlawanan dengan jaringan 43-40.

 


Pada suku masa pertama menyaksikan kelincahan dan sering berbalas jaringan antara kedua-dua pasukan namun pada saat-saat akhir NETFIT All Stars berjaya mendahului jaringan dengan 13-11.

 


Manakala pada suku masa kedua pula, NETFIT All Stars sekali lagi mengatasi kedudukan jaringan iaitu 14-10 walaupun Royal Bees memberikan persembahan yang menarik.

 


Sementara pada suku masa ketiga, Royal Bees mula menukar rentak dan strategi permainan untuk menguatkan lagi pertahanan dan hampir berjaya menyamakan jaringan dengan pasukan lawan iaitu Royal Bees, 8 dan NETFIT All Stars, 9.

 


Pada suku masa terakhir, Royal Bees terus berusaha dan beraksi cemerlang dan berjaya mendahului jaringan dengan 11 gol dan NETFIT All Stars 7.

 


Sejurus selepas perlawanan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan menyertai kedua-dua pasukan bagi sesi ramah mesra bersama penonton yang hadir  menyaksikan perlawanan yang julung kalinya diadakan dan dianjurkan oleh Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei (BNA).

 


Antara lain tujuan perlawanan persembahan itu diadakan sebagai persediaan skuad negara bagi menyertai Sukan SEA Ke-30 di Republik Filipina.

 


NETFIT All Stars diundang khas dari Australia yang mana antara pemain pasukan berkenaan menampilkan pemain elit Bola Jaring Kebangsaan Australia.



Close