Manage PermissionsManage Permissions

Perutusan tahniah sempena Hari Kemerdekaan Kemboja Ke-66





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni, Raja Kemboja dan Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, kerajaan dan rakyat Kemboja bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Kemboja Yang Ke-66 Tahun.

 


Dalam titah perutusan baginda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni, Raja Kemboja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan kegembiraan terhadap hubungan persahabatan yang mesra dan muhibah di antara Negara Brunei Darussalam dengan Kemboja dan seterusnya berharap akan terus berpeluang untuk meningkatkan kerjasama dua hala demi faedah kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

 


Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, baginda amat menghargai persahabatan yang mesra dan berharga yang dinikmati selama ini oleh kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing, yang mana diperkukuhkan lagi melalui kerjasama erat di pelbagai bidang termasuk pertukaran di kalangan rakyat kedua-dua buah negara. Baginda seterusnya berharap akan terus bekerja bersama dengan TYT dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama baik dalam hubungan dua hala mahupun melalui ASEAN.

 


Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni bagi kesejahteraan dan kesihatan baginda yang berterusan dan begitu juga kepada TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen dan seterusnya rakyat dan negara Kemboja akan menikmati kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.



Close