Manage PermissionsManage Permissions

Kepimpinan Rasulullah contoh terbaik



‚ÄčOleh : Bolhassan Haji Abu Bakar, Noraisah Haji Muhammed \ Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan terbaik bagi yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan hari akhirat kelak.

 


'Pemimpin' menurut perspektif Islam, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah contoh tauladan atau ikutan terbaik sebagaimana tafsiran ayat 21, Surah Al-Ahzab.

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengingatkan perkara tersebut ketika bertitah sempena Sambutan Maulud Nabi Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1441 Hijrah / 2019 di Istana Nurul Iman.

 


Ayat itu, titah Kebawah DYMM, secara tepat memberitahu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah pemimpin kita, dan kepimpinan Baginda disifatkan sebagai kepimpinan yang paling baik atau terbaik.

 


Kebawah DYMM seterusnya menegaskan, adalah wajar bagi kita untuk memilih kepimpinan Baginda semata-mata, bukannya kepimpinan yang tidak ada kena mengena dengan kepimpinan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

 


Tetapi dalam era baharu ini, tambah Kebawah DYMM, bukan semua orang nampak akan rahsia tersebut. Kerana itu terdapat sebahagian orang Islam yang terjebak memilih kepimpinan lain dari Islam.

 


''Natijahnya, banyaklah hal-hal bertentangan dengan Islam dilakukan oleh mereka. Situasi ini boleh saja mengundang kepada pelbagai keburukan di dunia, bahkan turut menunggu juga ialah ganjaran pedih di akhirat nanti,'' ujar Kebawah DYMM.

 


Seterusnya Kebawah DYMM bertitah dan melahirkan rasa syukur terhadap kemakmuran negara ini, ''Alhamdulillah, kepimpinan Brunei Darussalam, sejak lebih dari 600 tahun lagi, tidak pernah membelakangi Islam. Kerana itu Brunei selamat, dan malah terus menerus berhias dengan berkat''.

 


Keberkatan yang menghiasi Brunei, titah Kebawah DYMM, dapat dikesan melalui segala aspek, terutama aspek kehidupan. Semua rakyat dilihat riang gembira dan bersatu padu, tanpa berlaku sebarang pergaduhan atau pertelagahan. Masing-masing dilihat mempunyai semangat tinggi untuk memelihara keamanan dan keharmonian. Negara juga terus menerus stabil dan makmur, mampu untuk membangun dengan izin Allah.

 


Niat kita, titah Kebawah DYMM membangun adalah semata-mata untuk rakyat dan negara, rakyat di'kelinga' dan negara pula dibina. Inilah ajaran ugama kita. Sesama rakyat dituntut untuk tidak 'camah' mata. Mana-mana yang kuat hendaklah menolong yang susah. Inilah rukun hidup dalam kepimpinan Islam.

 


''Sebab itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sampai memberi peringatan, bahawa tidak beriman seseorang itu jika dirinya saja yang kenyang, sedang jirannya dibiarkan lapar (maksud hadis).

 


Inilah antara contoh kepimpinan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Siapakah yang dapat menandingi kepimpinan seperti ini?,'' titah Kebawah DYMM.

 


Seterusnya Kebawah DYMM bertitah, adalah amat penting untuk kita mengenang dan memperingati kelahiran Baginda supaya dengan itu kita dapat mengingat balik segala jasa dan gaya kepimpinan Baginda untuk dicontohi.

 


Kepimpinan Nabi yang berstatus wahyu, di mana mengambil dan memakainya adalah ibadat. Selaku ibadat, kita bukan sahaja menjadikannya panduan, malah juga dapat meraih pahala yang dijanjikan.

 


Terdahulu dari itu, baginda bertitah bersyukur kerana dapat menyambut dan memperingat Maulid Ar-Rasul.

 


''Semoga kita semua akan dapat terus memperingati dari tahun ke tahun, kerana Memperingati Maulid Ar-Rasul itu adalah wadah bagi menyingkap balik kerasulan dan kepimpinan Baginda. Baginda tidak diragukan lagi adalah rasul akhir zaman dan pemimpin tertinggi seluruh umat,'' titah Kebawah DYMM.



Close