Manage PermissionsManage Permissions

Harumkan nama negara



​Berita dan Foto: Aimi Sani

 

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 Oktober. - Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai Kejohanan Terbuka Pencak Silat Singapura Kali Ke-8 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), di sini.

 


Pada kali ini, kontinjen negara menyertai lima kategori, iaitu Bahagian Tunggal Wanita, Regu Wanita, Regu Lelaki, Olahraga Tanding Kelas B dan F Lelaki.

 


Negara berjaya meraih pingat emas melalui Awang Abdul Rahman bin Haji Bujang Ahmad bagi Kategori Tanding Kelas F bagi berat 70kg ke 75kg.

 


Kontinjen juga meraih pingat perak bagi Kategori Regu Wanita melalui Dayang Anisah Najihah binti Abdullah, Dayang Nur Wasiqah Aziemah binti Rosihan dan Dayang Norleyermah binti Haji Raya.

 


Awang Abdul Rahman bin Haji Bujang Ahmad ketika ditemui berasa sangat bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara sekali gus dapat merangkul pingat emas yang pertama beliau pada peringkat antarabangsa.

 


Kejohanan tersebut jelasnya, akan membantu beliau dan rakan yang lainnya dalam mempersiapkan diri bagi kejohanan antarabangsa yang akan datang, iaitu Asian Pencak Silat Championship 2019 di China pada yang akan berlangsung pada Disember ini dan Kejohanan Dunia di Sarawak pada April 2020.

 


Sementara itu, bagi Dayang Anisah Najihah binti Abdullah pula berkata, beliau dan rakan-rakan menjalani latihan intensif selama dua bulan dalam mempersiapkan diri untuk kejohanan tersebut.

 


Menyentuh mengenai persiapan Sukan SEA yang akan berlangsung pada bulan November depan, beliau yang akan mewakili negara bagi Kategori Tunggal Wanita berkata, pada ketika ini, beliau sedang menjalani latihan enam kali seminggu, tiga kali sehari bagi mempersiapkan diri secara mental dan fizikal.

 


Hadir mengalu-alukan kedatangan kontinjen di sini ialah Yang Di-Pertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin.

Close