Manage PermissionsManage Permissions

Peniaga dipelawa sertai Brunei Salebration 2019




Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 Oktober. - Brunei Salebration kembali pada penghujung tahun ini. Acara jualan yang dinanti-nantikan ini akan diadakan di sepanjang bulan Disember 2019 hingga Januari 2020, selama 62 hari.

 


Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengalu-alukan penyertaan para peniaga runcit dari pelbagai sektor untuk sama-sama mengambil bahagian dalam usaha kerajaan mempromosi 'berbelanja di Brunei' bagi meningkatkan penggunaan domestik dan aktiviti perekonomian.

 


Brunei Salebration juga menjadi salah satu acara utama yang akan diadakan bagi menyokong pengiktirafan Bandar Seri Begawan sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam di Rantau Asia bagi Tahun 2019 dan acara Brunei Salebration turut bertepatan dengan berlangsungnya Brunei December Festival (BDF).

 


Pada tahun lepas, acara jualan yang popular ini menarik penyertaan sebanyak 567 buah peniaga runcit dari pelbagai sektor, termasuk gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai perabot, kedai-kedai butik dan kasut, salon-salon kecantikan dan kesihatan, kedai-kedai buku dan sukan, kedai-kedai barangan kemas dan seumpamanya.

 


JPKE mempelawa semua peniaga untuk memainkan peranan masing-masing dalam mempromosi Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi membeli belah yang menarik dengan menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan pada harga yang kompetitif.

 


Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan pada tahun ini, JPKE memberikan lebih fleksibiliti dengan meniadakan syarat potongan diskaun minima ke atas barangan atau perkhidmatan yang dijual.

 


Para peserta juga akan dipaparkan dalam aplikasi mudah-alih PenggunaBijak (bagi iOS dan Android) bagi tujuan publisiti, khusus kepada para pembeli.

 


Dengan menawarkan potongan harga dan diskaun yang menarik dan kreatif, Brunei Salebration 2019 adalah peluang terbaik bagi para peniaga menarik para pelanggan berkunjung ke premis perniagaan dan meningkatkan kesetiaan pelanggan.

 


JPKE ingin mengingatkan para peserta untuk sentiasa menjalankan perniagaan dan aktiviti jualan murah secara beretika dengan mematuhi Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011 dan Peraturan Paparan Tanda Harga.

 


Pematuhan ke atas perintah dan peraturan tersebut akan memberikan manfaat kepada para peniaga dengan meningkatkan keyakinan pelanggan dan kredibiliti syarikat.

 


JPKE turut mengingatkan para peniaga untuk mempamerkan harga barangan dan diskaun dengan jelas bagi memastikan ketelusan harga juga membolehkan para pengguna membuat pilihan semasa pembelian.

 


Selaras dengan Peraturan-peraturan Jualan Murah, Notis-notis Jualan yang dikeluarkan oleh JPKE hendaklah dipaparkan dengan terang dan jelas di setiap premis perniagaan masing-masing.

 


Para peniaga yang berhasrat untuk menyertai acara Brunei Salebration 2019 bolehlah menghadapkan Borang Makluman Jualan bermula hari ini hingga 19 November 2019.

 


Borang makluman tersebut boleh dimuat turun di Laman Sesawang JPKE, 'www.depd.gov.bn/cad' dan borang yang lengkap boleh dikembalikan melalui e-mel ke 'sales@jpke.gov.bn' atau terus ke kaunter, di Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Blok 2 'A', Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan BA1131, Negara Brunei Darussalam.

 


Sebarang pertanyaan mengenai Brunei Salebration 2019 boleh disalurkan kepada JPKE melalui aplikasi mudah alih 'PenggunaBijak' atau e-mel ke 'sales@jpke.gov.bn' atau menerusi talian +673 2230223 (semasa waktu bekerja).



Close